Sarawak Capai Kadar Vaksinasi Tertinggi Di Malaysia

UKAS  > Edisi-Tengah >  Sarawak Capai Kadar Vaksinasi Tertinggi Di Malaysia
0 Comments

AHAD, 15 MEI 2022

SIBU: Semangat bersatu padu dalam kalangan masyarakat membolehkan Sarawak mencapai kadar vaksinasi tertinggi di seluruh Malaysia.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato Sri Prof Dr. Sim Kui Hian berkata kadar vaksinasi di Sarawak adalah kira-kira 94 hingga 95 peratus dan pencapaian itu menjadi satu kebanggaan kepada rakyat di negeri ini.

“Oleh kerana semangat bersatu padu anda telah menjadikan Sarawak mencapai kadar vaksinasi tertinggi di seluruh Malaysia.

“Disebabkan itu, kini kita berasa selamat untuk bertemu secara fizikal semasa perayaan tidak seperti dua tahun lalu,” katanya semasa berucap dalam majlis Pengerami Makai Serumpu Pra Gawai Dayak Tahun 2022 di Kingwood Hotel Sibu pada Sabtu.

Dato Sri Prof Dr. Sim yang juga Timbalan Premier Sarawak turut menzahirkan penghargaan kepada pengundi di Sibu kerana telah memberi mandat besar kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 yang lepas.

Ujarnya, sokongan kuat pengundi membolehkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mempunyai dua wakil rakyat di Sibu.   

Beliau juga menyeru penduduk negeri ini untuk tidak mempercayai parti dari Semenanjung Malaysia kerana sering bertelagah dan bersifat ekstrim.

Katanya, di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Absng Openg, Sarawak sedang bergerak di landasan yang tepat untuk mencapai visi muncul negeri kaya dan maju pada tahun 2030.

“Sarawak pada tahun 2030 akan menjadi negeri kaya, maju, inklusif dan lestari alam sekitarnya di bawah Premier Abg Jo.

“Tiada ada satu pun yang dapat menahan kita untuk mencapai visi tersebut kecuali jika kita tidak bersatu,” tambah beliau.

Presiden SUPP itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua ahli parti itu atas sokongan penuh mereka sejak ia ditubuhkan 63 tahun lalu.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga ADUN Pelawan Michael Tiang Ming Tee, ADUN Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek, Penasihat SUPP Cawangan Dudong Datuk Dr Soon Choon Teck dan Pengerusi SUPP Cawangan Dudong, Wong Ching Yong. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *