AHAD, 15 MEI 2022

KUCHING: Manggis Group mencatatkan sejarah apabila entiti tersebut melalui anak syarikatnya Tok Mart Sdn Bhd meterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Iana Corporation Sdn Bhd yang membawa jenama Siti Payung, sebuah pengusaha kek lapis di Sarawak.

Manggis Group dalam satu kenyataan pada Sabtu memberitahu, perjanjian tersebut merupakan satu inisiatif untuk memasarkan produk tradisi Malaysia melalui sistem dalam talian.

“Antara produk tempatan yang dijual termasuk pelbagai jenis makanan berasaskan kerepek, serunding, dan dodol.

“Yang terkini pula ialah produk kek lapis Sarawak yang sudah menjadi kegemaran orang ramai di seluruh Malaysia,’’ jelas kenyataan itu.

Menurut Manggis Group, keistimewaan inisiatif ini adalah para pelanggan boleh mendapatkan produk-produk tersebut melalui pelbagai platform yang sedia ada seperti Shopee, Lazada, GrabFood, Foodpanda, Youbeli serta laman web Tok Mart sendiri.  

Untuk rekod, Manggis Group merupakan syarikat produksi yang telah ditubuhkan sejak tahun 2003.

Kumpulan tersebut menyediakan pelbagai kandungan kreatif, krew produksi teknikal, servis pengiklanan bersepadu serta merupakan agensi pemasaran digital melalui kolaborasi pelbagai syarikat di bawahnya. -Edisi UKAS

add comment