JPVS Swastakan Stesen Ternakan Untuk Pembangunan Industri Ternakan Ruminan

UKAS  > Edisi-Selatan >  JPVS Swastakan Stesen Ternakan Untuk Pembangunan Industri Ternakan Ruminan
0 Comments

ISNIN, 23 MEI 2022

KUCHING : Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak telah mengambil inisiatif Public-Private Partnership (PPP) iaitu menswastakan stesen-stesen ternakan.

Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, Kerajaan akan memfokuskan kepada meningkatkan penglibatan sektor swasta dalam pembangunan industri ternakan ruminan iaitu lembu, kerbau dan kambing di Sarawak.

“Sarawak telah mencapai tahap sara diri melebihi 100 peratus bagi daging ayam. Justeru itu, Kerajaan akan membantu penternak untuk memperluaskan industri ini bagi tujuan eksport.

“Manakala, tahap sara diri bagi daging lembu dan kambing masih pada tahap rendah, iaitu 12 peratus dan 5.5 peratus. Untuk meningkatkan penglibatan sektor swasta, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak telah mengambil inisiatif PPP iaitu menswastakan stesen-stesen ternakan,” katanya.

Beliau menjelas demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor di Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Isnin.

Sementara itu, beliau menambah, dua buah stesen ternakan telah diswastakan iaitu Stesen Ternakan Temudok, Sri Aman untuk pengeluaran baka kambing berkualiti.

Manakala, bagi Stesen Ternakan Karabungan, Miri adalah untuk pengeluaran baka lembu berkualiti.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *