MOTS Kaji Kemungkinan Tingkat Kekerapan Penerbangan

UKAS  > Edisi-Selatan >  MOTS Kaji Kemungkinan Tingkat Kekerapan Penerbangan
0 Comments

SELASA, 24 MEI 2022

KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa penerbangan yang berkaitan untuk mengkaji kemungkinan meningkatkan kekerapan penerbangan terutamanya semasa musim perayaan dan meluaskan liputan penerbangan ke destinasi antarabangsa lain di rantau ini.

Menterinya, Dato’ Sri Lee Kim Shin berkata ketika ini, MOTS sedang memantau dengan teliti bilangan kekerapan penerbangan keluar dan dalam Sarawak.

“Setakat ini, penerbangan mingguan yang diluluskan ke Sarawak ialah sebanyak 619 penerbangan yang terdiri daripada 33 penerbangan antarabangsa dan 586 penerbangan domestik,” katanya berucap dalam sesi penggulungan untuk kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Selasa.

Menjelas mengenai isu tular tambang penerbangan yang tinggi yang dikenakan oleh syarikat penerbangan kepada penumpang ke Sarawak terutamanya pada musim perayaan baru-baru ini, beliau berkata tindakan pembaikan telah diambil oleh kedua-dua Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk memastikan harga tiket penerbangan adalah berpatutan.

Selain itu, antara isu lain yang dibangkitkan oleh orang ramai ialah penjadualan semula penerbangan yang kerap oleh syarikat penerbangan.

“Mengenai perkara ini, Kementerian saya telah sampaikan ketidakpuasan hati mengenai isu ini kepada syarikat penerbangan dan meminta mereka untuk meminimumkan gangguan kepada jadual penerbangan ke Sarawak yang telah menyebabkan kesulitan kepada pengembara.

“Kami mahu pelancong menikmati keseronokan dan pengalaman yang menyenangkan apabila datang ke Sarawak yang juga sebahagian daripada strategi kami untuk mempromosikan Sarawak sebagai tempat pelancongan pilihan dan destinasi pelaburan di rantau ini.”-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *