Tubuh Lembaga Pembangunan Padi Sarawak, Giatkan Industri Penanaman Padi

UKAS  > Edisi-Selatan >  Tubuh Lembaga Pembangunan Padi Sarawak, Giatkan Industri Penanaman Padi

SELASA, 24 MEI 2022

KUCHING: Satu Lembaga Pembangunan Padi Sarawak wajar ditubuhkan dengan tujuan memodenkan serta menggiatkan semula industri padi tempatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, lembaga tersebut boleh diberi tanggungjawab untuk mengawal selia dan memastikan pembangunan industri penanaman padi secara teratur, menjamin penggunaan ladang sedia ada secara optimum, dan juga meningkatkan pengeluaran hasil.

“Pada masa ini, aktiviti menanam padi masih giat dijalankan oleh petani dari luar bandar untuk kegunaan sendiri, namun, tidak banyak hasil beras tempatan yang boleh didapati di pasaran.

“Oleh itu, saya percaya, industri penanaman padi akan mempunyai prospek yang lebih cerah sekiranya petani mengguna pakai amalan serta teknologi pertanian yang baharu bagi meningkatkan pengeluaran hasil dan juga pendapatan sendiri,’’ jelasnya pada usul penghargaan atas ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.

Datuk Mong menambah, Lembaga Padi yang dicadangkannya perlu diberi bidang kuasa untuk membeli hasil padi dari petani di samping memproses dan menjual beras sendiri.

“Satu pusat penyelidikan juga boleh ditubuhkan di bawah lembaga itu khusus untuk membangunkan penanaman padi huma,’’ tambahnya.

Sehubungan itu, beliau yakin dengan adanya satu badan korporat ini khas bagi membangunkan industri padi di Sarawak, maka aktiviti penanaman padi akan dapat menjana pendapatan yang lumayan untuk para petani. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *