13 Projek Pembaharuan Bandar Telah Diluluskan Di Bawah RMKe-12

UKAS  > Edisi-Selatan >  13 Projek Pembaharuan Bandar Telah Diluluskan Di Bawah RMKe-12
0 Comments

KHAMIS, 26 MEI 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui agensi seperti Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) meneruskan agenda meningkatkan kesejahteraan dan sosio ekonomi rakyat dengan melaksanakan Projek Pembaharuan Bandar (Urban Renewal) di Sarawak. 

Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, objektif utama pelaksanaan projek ini adalah untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat dengan menyediakan rumah mampu milik yang selesa dan teratur serta penempatan terancang. 

“Sejumlah 13 projek Pembaharuan Bandar telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang mana 7 daripadanya merupakan projek sambungan Rancangan Malaysia Ke-11. 

“Kesemua projek ini berada dalam pelbagai peringkat perancangan dan pelaksanaan terutamanya Projek Pembangunan Darul Hana yang mana Fasa Pertama perpindahan penduduk dari Kampung Panglima Seman Lama dan Kampung Semarang ke Darul Hana dijangka bermula pada bulan Ogos tahun ini,” katanya semasa membentangkan sesi penggulungan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.

Tambah Datuk Amar Awang Tengah Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, pada masa sama Kerajaan Sarawak juga memberikan perhatian khusus kepada pembangunan bandar baru (new township) dan pusat perkhidmatan (service centre) di luar bandar. 

Oleh itu, Kerajaan Sarawak melalui LCDA dalam Rancangan Malaysia Ke-12  (RMKe-12) akan meneruskan projek-projek tersebut antaranya Bandar Baru Sebuyau, Samarahan, Bandar Baru Simunjan, Samarahan, Pusat Perkhidmatan Lingga, Sri Aman, Pusat Perkhidmatan Matu, Mukah, Pusat Perkhidmatan Matadeng, Mukah dan Pusat Perkhidmatan Ulu Merapok, Lawas.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *