SELASA, 31 MEI 2022

LIMBANG: Majlis Ramah Tamah Raya Gawai Purnama Sport Carnival (PURSCAR) dan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Bahagian Limbang 2022 merupakan platform untuk penjawat awam mengeratkan silaturahim.

Pemangku Residen Bahagian Limbang, Sebi Abang berkata, ia juga sebagai platform untuk mengukuhkan ukhuwah dan toleransi dalam kalangan penjawat awam yang berlatarbelakangkan pelbagai agama, budaya dan adat resam yang berbeza.

“Di samping itu juga, majlis ini merupakan satu usaha kita untuk menerbitkan gabungan kerjasama erat di kalangan semua penjawat awam dan agensi-agensi kerajaan dan swasta dalam melaksanakan pelbagai agenda pembangunan kerajaan yang diterajui oleh misi dan visi serta objektif masing-masing yang bertujuan untuk membangunkan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan membawa negara kita maju bersaing dengan negara-negara lain,” katanya semasa berucap dalam majlsi berkenaan di Dewan Suarah Limbang pada Ahad.

Beliau menambah, bagi mencapai visi menjadikan Sarawak maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030, pelbagai inisiatif pembangunan telah dan sedang rancak dilaksanakan di Limbang.

“Berbillion ringgit peruntukan telah diluluskan untuk membiayai pelbagai pembangunan sama ada pembangunan yang fizikal dan bukan fizikal telah disalurkan ke Bahagian Limbang menerusi agensi-agensi kerajaan.

“Wang berbillion ringgit yang diluluskan untuk melaksanakan pembangunan di negeri kita ini bukanlah satu jaminan utama untuk berjaya merealisasikan misi negeri menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030,” ujar beliau. Katanya, kerjasama dalam kalangan semua anggota perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan serta swasta diperlukan bagi mengikat kesepaduan dalam mengembeleng tenaga dan pemikiran geliga yang akan melahirkan pelbagai jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah sekaligus untuk mencapai visi dan misi Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030.-EDISI UKAS

add comment