AHAD, 12 JUN 2022

TANJUNG MANIS: Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh bersama Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab telah hadir dalam Program Jelajah Ngiling Bidai Kuala Rajang di Dewan Masyarakat Stalun pada Sabtu. 

Sambutan cukup meriah dengan dihadiri lebih seratus orang penduduk dari 10 buah rumah panjang dengan penuh adat istiadat kaum Iban.

Difahamkan, kawasan Stalun masih memerlukan pelbagai infrastruktur asas seperti jalan perhubungan darat kerana kesukaran untuk masuk ke Kampung Stalun terutamanya apabila air tohor dan bekalan air terawat selain liputan telekomunikasi telefon dan internet juga sangat lemah. 

Sehubungan itu, penduduk memohon agar bantuan baikpulih rumah dapat diteruskan untuk rumah-rumah panjang di Stalun.

Selain itu, penduduk juga berharap agar projek serta bantuan Agro-pertanian dapat dibawa dan diberikan kepada para petani di Stalun.

Jika semua infrastruktur ini dapat direalisasikan maka sumber ekonomi penduduk dapat diperbagaikan dan tidak hanya bergantung kepada hasil nelayan sekaligus meningkatkan pendapatan penduduk.

Jelas Ir Yusuf, beliau sentiasa membangkitkan isu-isu rakyat di Dewan Rakyat dan berusaha mencari jalan untuk memenuhi keperluan rakyat jelata.

“Apa yang penting ialah kepercayaan dan sokongan berterusan dari rakyat agar suara Sarawak kuat dan mendapat perhatian dari kerajaan pusat,” katanya. 

Menurut Datu Len pula, beliau memberi jaminan semua kemudahan utiliti dan infrastruktur yang dibangkitkan oleh rakyat akan dilaksanakan kerana semua ini telah dirancang bukan sahaja untuk Kampung Stalun malah meliputi seluruh kawasan pulau sehingga ke Kampung Paloh.

Justeru, beliau berharap agar rakyat memberi  kerjasama supaya perlaksanaan projek di kawasan ini berjalan lancar.-EDISI UKAS 

add comment