ISNIN, 13 JUN 2022

MUKAH: Dalam usaha mencungkil bakat para pelajar, Kelab Kebudayaan & Warisan (Warisan Permata Seni PMU) Politeknik Mukah telah menganjurkan Festival Warisan Permata Seni (WPS), Sesi II 2021/2022 yang diadakan di Dewan Utama Politeknik pada Ahad.

Ia mempertandingkan dua kategori iaitu Tarian Kreatif dan Battle of The Band dan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine.

Menurut Royston, penganjuran program seumpama itu dapat membantu mengurangkan gejala sosial dalam kalangan belia khususnya pelajar.

Pada masa sama katanya, ia dapat mengenal pasti bakat-bakat pelajar dalam bidang seni.

Festival WPS 2022 diadakan bagi menggalakkan penglibatan pelajar melalui aktiviti sihat di samping meningkatkan keyakinan pelajar beraksi di khalayak ramai serta mendedahkan pelajar dengan budaya di Malaysia.

Pertandingan ini bukan sahaja menjadi pentas untuk memberi kesedaran dan penghayatan budaya dan seni di kalangan generasi muda malah ia selaras dengan seruan kerajaan iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) berdasarkan lima aspirasi iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. – EDISI UKAS

add comment