30 KMKK Daerah Bario Adakan Lawatan Ke MBM

UKAS  > Edisi-Utara >  30 KMKK Daerah Bario Adakan Lawatan Ke MBM
0 Comments

RABU, 22 JUN 2022

MIRI: Kehadiran Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Bario ke Dewan Bandaraya Miri pada Selasa adalah bertujuan mengadakan lawatan sambil belajar. 

Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang berkata, kehadiran KMKK Bario ke Miri sangat bermakna dalam meluaskan pengetahuan, pendedahan kepada adat dan budaya masyarakat lain di Miri dan Marudi, melengkapkan dengan kemahiran dalam tugasan dan menjadikan lebih kreatif dan inovatif dalam kalangan KMKK. 

Dalam pada itu, MBM juga akan membantu mempromosikan pelancongan serta membuat kajian mengenai pengurusan sisa di daerah Bario.

“Kami berharap anda semua dapat memberikan pandangan dan cadangan dengan fikiran terbuka. 

“Ini kerana adalah penting bagi Majlis Bandaraya Miri mengumpul maklumat yang berharga dan terkini untuk merancang perkara yang dinyatakan di atas di bawah Pelan Strategik Semasa Majlis Bandaraya Miri,” katanya. 

Adam Yii yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut memberitahu sepanjang lawatan sambil itu, KMKK Bario akan didedahkan dengan dialog, bengkel, lawatan dan sumbang saran mengenai pelbagai aspek masyarakat di daerah Miri dan Bario.

Seramai 30 orang KMKK dari 26 buah kampung di Bario menyertai lawatan di MBM.

Pada perjumpaan itu juga, Adam Yii telah dikurniakan nama Raja Ngatan oleh masyarakat Kelabit semasa Majlis Penamaan Tradisional Kelabit yang disaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek) merangkap ADUN Mulu Dato Gerawat Gala.

Hadir sama Timbalan Datuk Bandar Julaihi Mohamad, Pemangku Setiausaha Bandaraya Abdul Rahman Taupek, Pengerusi Bario Task Force Kaunselor John Trawe dan Ahli-ahli MBM.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *