Miri Country Music Festival Dijangka Dapat Sambutan Menggalakkan Daripada Peminat Muzik Tempatan Dan Antarabangsa

UKAS  > Edisi-Utara >  Miri Country Music Festival Dijangka Dapat Sambutan Menggalakkan Daripada Peminat Muzik Tempatan Dan Antarabangsa
0 Comments

AHAD, 26 JUN 2022

MIRI: Selepas dua tahun penganjuran Miri Country Music Festival tidak dapat diadakan disebabkan penularan wabak pandemik COVID-19, tahun ini ia dilangsungkan di Eastwood Valley Golf & County Club, Miri pada Sabtu. 

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, seperti penganjuran Rainforest World Music Festival minggu lepas yang telah mendapat sambutan hangat daripada pengunjung, penganjuran Miri Country Music Festival juga dijangka akan mendapat sambutan hangat. 

“Pagi ini saya melahirkan rasa gembira dengan mengumumkan penganjuran Miri Country Music Festival (MCMF) 2022 selepas 2 tahun tidak diadakan. 

“Seperti minggu lepas, selepas dua tahun tidak diadakan Rainforest World Music Festival, pada mulanya sangat membimbangkan, tetapi sambutan yang diterima sangat menggalakkan. 

“Sambutan ini begitu mengujakan dan kami berasa gembira dengan sambutan yang diberikan pengunjung,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media Miri Country Music Fest MCMF2022 di Eastwood Valley Golf & County Club, Miri pada Sabtu. 

Ujar beliau lagi, pada Festival Miri Jazz yang diadakan pada Jumaat lepas telah menyaksikan sambutan yang diterima sangat menggalakan dengan kehadiran penonton yang ramai dan ada yang terpaksa menyaksikan persembahan dari luar disebabkan tiket telah habis dijual. 

Tambah Datuk Abdul Karim lagi, perkara yang sama turut berlaku dalam Rainforest World Music Festival yang lepas apabila jumlah kehadiran penonton melangkaui jangkaan dengan lebih 12,000 pengunjung hadir sepanjang festival itu berlangsung. 

Dato Sri Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan menzahirkan rasa bangga apabila penganjuran Miri Country Music Fest itu merupakan yang pertama di Malaysia sejak 2014 lagi. 

“Miri Country Music Festival atau singkatannya MCMF mula diwujudkan pada 2014 dan merupakan festival muzik negara antarabangsa pertama di Malaysia. 

“Saya masih ingat menghadiri MCMF pertama ketika Premier kita (Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg) menjadi Menteri Pelancongan. 

“Ia diadakan di Hotel Parkcity Everly dengan kehadiran penonton ketika itu hampir 4,000 pengunjung selama dua hari itu,” ujar beliau lagi. 

Sepanjang Miri Country Music Festival, pengunjung akan menyaksikan persembahan daripada pemuzik terkenal antarabangsa seperti Tantowi Yahya dari Indonesia, Lyia Meta dari Malaysia, Johnny Loda Trio dari Itali, United Kingdom dan Thailand, Cambodia Country Band dari Amerika Syarikat dan Cambodia, Ramon Cedillo dari Singapura, Kamal Bukhary dari Malaysia, Sessions Band aka sesSion: TheBand dan Mountain Wind dari Miri, Malaysia. 

Turut sama hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Penganjur Miri County Music Fest Gracie Geikie, Pengerusi Sarawak Tourism Board merangkap ADUN Telang Usan Dennis Ngau, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Hii Chang Kee, Ketua Pembangunan Pelancongan Majlis Bandaraya Miri (MBM) Kaunselor Warzieda Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Eastwood Valley Golf & County Club Kaunselor Kueh Chie Tiong.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *