Program Silang Budaya Tingkatkan Kerjasama & Nilai Perpaduan Antara Pendidik, Ibu Bapa dan Masyarakat Setempat

UKAS  > Edisi-Utara >  Program Silang Budaya Tingkatkan Kerjasama & Nilai Perpaduan Antara Pendidik, Ibu Bapa dan Masyarakat Setempat
0 Comments

ISNIN, 27 JUN 2022

BINTULU: Sekolah merupakan platform atau tempat terbaik dalam membentuk perpaduan kaum di kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak. 

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Pelabuhan) Dato Majang Renggi berkata, beliau menyokong penuh inisiatif diambil pihak penganjur dalam mengadakan Program Silang Budaya yang menggabungkan antara perayaan Hari Raya dan Gawai.

“Saya berharap usaha murni ini akan dapat mewujudkan semangat kerjasama, mengukuhkan ikatan silaturrahim dan meningkatkan lagi nilai perpaduan serta suasana harmoni khasnya di kalangan warga pendidik, ibu bapa serta masyarakat tempatan di Sarawak,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam program Sambutan Hari Guru Silang Budaya dan Penyerahan Projek RTP di Sekolah Kebangsaan (SK) Kidurong pada Khamis. 

Pada majlis itu, telah diadakan penyerahan simbolik geran Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Bina Baru Laluan Pejalan Kaki Berbumbung SK Kidurong dengan kos sebanyak RM60,000.

Ujar Dato Majang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, sebagai warganegara yang cintakan tanah air, kita perlu mempunyai peranan dan tanggungjawab bagi memastikan Sarawak sentiasa dalam kedudukan yang stabil serta kukuh.  

“Ini penting bagi membolehkan kita melaksanakan pelbagai rancangan atau agenda kerajaan dengan lebih berkesan dan efektif. 

“Salah satu daripada agenda utama Kerajaan Sarawak ialah pelan tindakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 ke arah menjadikan Sarawak wilayah maju menjelang 2030,” ujar beliau lagi.

Mengenai pembangunan yang ada di Bintulu ini, beliau memberitahu beberapa projek berskala besar sedang dirancang dan dibina antaranya Sarawal Petchem Methanol Plant berjumlah RM3.7 bilion yang dijangka beroperasi 2024, Sarawak Medical Hub bernilai RM1 bilion dengan Fasa 1 berjumlah RM200 juta sedang pembinaan, Malaysia Phosphate Additives (S) SB sedang dalam pembinaan yang dijangka berperasi suku ketiga 2022 dan Venan Stell Plant berjumlah RM13.8 bilion yang merupakan kilang besi dan keluli terbesar di Asia Tenggara dan pertama di Sarawak sedang dalam penyediaan tapak. 

Turut akan dibina loji baharu berasaskan gas dan minyak serta merancang membina paip gas dari Tanjung Kidurong hingga ke taman perindustrian. 

Jelas beliau lagi, apabila projek-projek ini siap akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang untuk rakyat Sarawak.

Hadir sama Guru Besar SK Kidurong Sintan Lugat, wakil Pejabat Pendidikan Bintulu (PPD) Yusup Harbi, Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kidurong Wan Mohammad Zaidi Wan Kadir dan wakil Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) Dorothy Igan.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *