CENTEXS Diiktiraf Sebagai Hab Bidang Ekonomi Digital

UKAS  > Edisi-Selatan >  CENTEXS Diiktiraf Sebagai Hab Bidang Ekonomi Digital
0 Comments

SABTU, 25 JUN 2022

KUCHING: Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) baru-baru ini diiktiraf sebagai hab bidang ekonomi digital oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Watikah Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) Collaboration Hub (TCH) tersebut disampaikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman semasa Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Minggu TVET Negara (MTN) 2022 di Dewan Al Jazari, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor pada Jumaat.

Sehubungan itu, sebagai tanda penghormatan, Syeed Mohd Hussien berbesar hati menyerahkan watikah pengiktirafan tersebut kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg melalui Majlis Perasmian Expo Pendidikan Sarawak 2022 bertempat di Dewan Jamilah, Yayasan Sarawak di sini pada Sabtu.

Bercakap kepada media, Syeed Mohd Hussien memberitahu, kejayaan yang dicapai oleh CENTEXS sehingga kini adalah bukti kerja keras dan keprihatinan Premier Sarawak yang sentiasa berusaha meningkatkan segala aspek berkaitan pendidikan di negeri ini walaupun memerlukan pelaburan yang besar.

“Alhamdulillah sekarang kita telah menjadi Hab Digital Program untuk Sarawak dan juga di tempat-tempat lain. Tanggungjawab kita ialah untuk menjaga program-program termasuk mengenalkan teknologi baru kepada mereka.

“Institusi di Sarawak yang berkenaan dengan latihan atau sewaktu dengannya, akan kita bantu dari segi silibus mahupun teknologi supaya seangkatan dengan CENTEX.

“Kita memang terbuka untuk seluruh rakyat Malaysia dan sekarang kita dalam proses mengatur lesen untuk dibuka pada tahap antarabangsa.

“Bagi pelajar di negeri ini, Yayasan Sarawak yang bantu, mereka tidak perlu bayar apa-apa. Namun bagi negeri lain, perlu ada kerjasama dengan yayasan masing-masing untuk menaja pelajar melanjutkan pelajaran di enam buah kampus kita di Sarawak,” katanya ketika ditemui media selepas selesai majlis perasmian expo tersebut.

TCH merupakan sebuah model ekosistem kolaborasi strategik antara institusi TVET, kerajaan dan industri melalui perkongsian sumber, kepakaran, peralatan dan lain-lain yang berupaya menjadi pemacu kepada agenda pemerkasaan TVET negara.

Melalui Sarawak ekonomi digital, kerajaan telah memberi mandat kepada Kementerian Pendidikan Inovasi Dan Pembangunan Sarawak (MEITD) dan Akademi Digital CENTEX dalam pembangunan kemahiran dan bakat digital.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *