SELASA, 19 JULAI 2022

KUCHING: Sarawak melaungkan amaran awal kepada pencabar dari negeri lain pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 selepas beraksi cemerlang pada Kejohanan Muay Thai Remaja Kebangsaan & Pra SUKMA 2022 di Kuantan, Pahang pada minggu lepas.

Dalam kejohanan berlangsung dari 15 hingga 17 Julai di Padang Majlis Bandaraya Kuantan, barisan atlet Bumi Kenyalang berjaya membawa pulang lima pingat emas, tiga perak dan lima gangsa.

Maurien Hii Sie Lin dari Kelab Muaythai D30 Miri terlebih dahulu menceriakan kem Sarawak apabila menyumbang pingat emas dalam kategori senior wanita.

Rentak cemerlang itu diteruskan oleh empat lagi atlet remaja dengan menyumbang emas iaitu Mikhail Ghazali (Rentap Muay Thai), Texas Jeremy (SS Fighter), Mohd Syameil (Sting Muay Thai) dan Nur Haina Aisyah (Meranek Pheonix Muay Thai).

Sementara itu, Khairul Aiman (PS Muay Thai Bintulu) dan Nur Azirah Mohamad Yudi (Sting Muay Thai) masing-masing menyumbang perak dalam kategori senior manakala Mohd Hakim (Sting Muay Thai) dalam kategori remaja.

Gangsa pula disumbangkan oleh Jordan Bokoet Herman (Bau Muay Thai Club), Bryan Anderson Jeffery (Bau Muay Thai Club), Mohd Hasbullah (Meranek Pheonix Muay Thai), Mohd Izad (SS Fighter) dan Mohd Haziq (Sting Muay Thai).

Peserta lain yang mengambil bahagian ialah Mohd Hairol (Sting Muaythai Club), Ayu Adiqa Azmi (Muaythai Kenyalang), Angellicia Elicia Lee (SS Fighter) dan Dylan Casey Daniel (Kelab Muaythai D30 Miri).

“Tahniah kepada semua atlet kita khususnya atlet remaja atas kejayaan mereka menyumbang pingat kepada Sarawak dalam kejohanan ini.

“Kejohanan ini merupakan salah satu dari pentas pemanas badan kepada atlet-atlet kita sebelum menghadapi temasya SUKMA kelak dan selepas ini mereka akan menempuh banyak lagi sparring game untuk memantapkan lagi persiapan mereka.

“Pada masa sama, kita juga menjadikan kejohanan ini sebagai kayu pengukur kemampuan atlet-atlet kita sebelum memutuskan senarai terakhir untuk kita hantar ke Kuala Lumpur kelak,” ujar Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Haji Jumaat Ibrahim ketika dihubungi pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berharap atlet terutama yang sudah terpilih agar terus meningkatkan prestasi mereka memandangkan temasya SUKMA hanya berbaki kurang dua bulan untuk bermula.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) serta para jurulatih atas sokongan serta dokongan secara berterusan terhadap program pembangunan dilaksanakan oleh PMNS dalam usaha memartabatkan sukan muay di Sarawak.

Ujarnya lagi, penghargaan juga diberikan kepada kelab-kelab muay di sini yang tampil dengan inisiatif sendiri menaja atlet mereka untuk menyertai kejohanan tersebut.

Selain itu, Jumaat turut berterima kasih kepada Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) atas kesudian menaja atlet Sarawak menyertai kejohanan sama bagi tujuan pemilihan ke kejohanan dunia. – EDISI UKAS

add comment