Premier Sarawak Terima Kunjungan Hormat Delegasi FAMA

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Premier Sarawak Terima Kunjungan Hormat Delegasi FAMA
0 Comments

KHAMIS, 21 JULAI 2022

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di pejabat beliau di Wisma Bapa Malaysia pada Khamis.

Kunjungan hormat berkenaan adalah bagi memberikan beberapa penerangan berkaitan dengan projek-projek dan pelaksanaan tugasan FAMA di negeri ini.

Menurut Ketua Pengarah FAMA Dato’ Zainal Abidin Yang Razalli yang mengetuai rombongan itu, beliau turut membincangkan mengenai hasrat untuk menaiktaraf Medan Niaga Satok terutama di kawasan benteng bagi dijadikan sebagai satu tarikan agropelancongan.

“Selaras dengan pembangunan yang sedang dirancang oleh Kerajaan Sarawak dari segi pembangunan agropelancongan di sungai-sungai, maka kita akan menaiktaraf benteng yang sedia ada ini supaya ia boleh berfungsi sebagai satu tempat riadah tempat agropelancongan.

“Ini akan membolehkan para pengunjung mendapatkan hasil-hasil pertanian di Medan Niaga Satok, makanan-makanan, melakukan aktiviti riadah serta aktiviti hiburan pada waktu siang dan malam.

“Ini juga boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan yang sedang dilaksanakan dengan giatnya oleh Kerajaan Sarawak,” jelasnya ketika ditemui media sejurus selepas kunjungan hormat itu.

Dalam pada itu, Dato’ Zainal Abidin turut memaklumkan kepada Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari mengenai jualan yang telah dijana oleh outlet FAMA di Sarawak pada tahun 2021.

“Kita juga telah memaklum kepada Premier Sarawak bahawa pada tahun 2021, melalui 201 outlet tetap kita di seluruh Sarawak ini telah menjana nilai jualan hampir RM483 juta yang melibatkan 6,760 usahawan,” ujarnya.

Hadir sama Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato’ Sri Dr. Stephen Rundi Utom dan Ahli Lembaga FAMA yang baharu Miro Simuh.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *