RABU, 27 JULAI 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) besama Melexis Technology sebuah syarikat berpusat di Belgium untuk kolaborasi berkaitan reka bentuk cip bersepadu (IC) bagi pengeluaran cip di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, kerjasama tersebut adalah langkah penting yang akan memberi manfaat kepada Sarawak dan juga dunia secara amnya menerusi pembangunan reka bentuk cip buatan tempatan pada masa depan.

“Saya yakin bahawa fenomena perubahan iklim serta pengurangan kebergantungan kepada enjin pembakaran akan menjurus kepada reka bentuk cip baharu berdasarkan keperluan pasaran tenaga masa kini,” katanya ketika menyampaikan amanat semasa majlis menandatangani MoU tersebut di Tessenderlo, Belgium pada Selasa.

Selain itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menekankan keperluan pembangunan bakat demi memupuk sebuah persekitaran yang menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang mantap dalam teknologi reka bentuk cip di Sarawak.

“Dengan Sarawak, khususnya Kuching kini melaksanakan projek Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) berpaksikan hidrogen sebagai sumber kuasa, R&D semestinya akan menjadi faktor utama dalam pembangunan sistem pengangkutan awam yang baharu,’’ tambahnya lagi.

Pada majlis itu, Premier Sarawak menyaksikan pemeteraian MoU tersebut antara Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) bersama dengan Melexis Technology.

Skop perjanjian itu merangkumi kerjasama dalam rekabentuk IC serta pembangunan bakat dalam industri semikonduktor di Sarawak sebagai salah satu usaha kerajaan negeri dalam program membangunkan bakat dan nilai berinovasi di sini.

Terdahulu, Pengerusi Melexis Technology, Francoise Chombar telah menyampaikan ucapan sebagai mengalukan kedatangan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari serta Delegasi dari Sarawak.

Untuk rekod, Melexis Technology selama ini telah melibatkan diri dalam faundri cip X-FAB di Zon Perindustrian Bebas Samajaya yang menghasilkan cip untuk pelbagai kegunaan termasuk dalam industri automotif. 

Hadir sama ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn serta Timbalan-Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis dan Dr Annuar Rapa’ee.

Turut hadir ialah Duta Besar Malaysia ke Belgium dan Luxembourg merangkap Ketua Perwakilan Malaysia ke Kesatuan Eropah (EU), Dato’ Ahmad Rozian Abd Ghani.

Premier Sarawak serta delegasi kemudiannya melawat ke Port of Antwerp-Bruges di mana satu lagi MoU bakal dimeterai berkaitan cadangan pembangunan pelabuhan baharu di Kuching.

Program-program tersebut pada Selasa merupakan aktiviti permulaan dalam lawatan kerja Premier Sarawak ke Eropah dan United Kingdom yang berlangsung selama seminggu. -Edisi UKAS

add comment