Pelabuhan Miri Pemangkin Pembangunan Ekonomi Wilayah Utara Sarawak

UKAS  > Edisi-Utara >  Pelabuhan Miri Pemangkin Pembangunan Ekonomi Wilayah Utara Sarawak
0 Comments

ISNIN, 1 OGOS 2022

MIRI: Kerajaan Sarawak sedar akan pentingnya peranan pelabuhan dalam menyediakan perhubungan perkapalan di antara pelabuhan pelbagai negara di dunia.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Dato Majang Renggi berkata, Kerajaan Sarawak sedang mengkaji secara serius pembangunan pelabuhan yang antara lain cadangan untuk mempertingkatkan saluran capaian dan penyediaan alat bantu navigasi lain untuk memastikan keselamatan kapal semasa melalui saluran capaian di Kuala Baram.

“Saya percaya, dengan saluran akses yang lebih mendalam dan disokong sistem pengurusan yang mantap serta cemerlang Pelabuhan Miri akan dapat memainkan peranan pentingnya sebagai pemangkin untuk pembangunan ekonomi bagi wilayah utara Sarawak dan menjadi pelabuhan penting yang menghubungkan perdagangan wilayah utara Sarawak ke seluruh dunia. 

“Ini adalah petanda baik dengan visi dan aspirasi negeri untuk menjadi sebuah negeri maju dengan ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030,” katanya. 

Beliau berucap dalam Majlis Penghargaan dan Kecemerlangan 2022 Miri Port Authority (MPA) di Hotel Imperial Miri di sini pada Jumaat. 

Tambah Dato Majang lagi, berdasarkan kepada ekonomi digital, Perindustrian 4.0 dan data besar masa kini, industri pelabuhan di Sarawak juga tidak ketinggalan daripada gelombang pembangunan ini. 

“Industri pelabuhan harus melihat ke dalam automasi penuh operasi pelabuhan dan menggunakan infrastruktur digital yang akan datang untuk menghubungkannya dengan sistem data besar di dunia,” tambah beliau lagi. 

Kini, dengan kemunculan Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi (ICT) dan akses kepada maklumat, pelanggan lebih berpengetahuan berbanding pembekal produk/perkhidmatan atau industri itu sendiri.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pelabuhan Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Palu @ Paulus Palu Gumbang, Kaunselor Jeffrey Phang yang mewakili Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, wakil Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Miri merangkap Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak Mohd Zakaria Abdul Wahad, wakil Residen Bahagian Miri Rose Edward Tarang, Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu dan Lembaga Pelabuhan Miri Serawa Budol.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *