Jaga Kebersihan Kawasan Pasar, Hindari Pembiakan Tikus

UKAS  > Edisi-Selatan >  Jaga Kebersihan Kawasan Pasar, Hindari Pembiakan Tikus
0 Comments

SELASA, 2 OGOS 2022

PADAWAN: Kebersihan kawasan pasar perlu sentiasa dititikberatkan bagi menjamin kesihatan para penjaja serta pengunjung.

Dalam pada itu, Majlis Perbandaran Padawan (MPP) telah menganjurkan kempen gotong royong bagi membersihkan Pasar Awam Kota Padawan di sini pada Isnin.

Hadir merasmikan program tersebut ialah Pengerusi MPP merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Ir. Lo Khere Chiang serta disertai Setiausaha Perbandaran MPP, Elizabeth Loh, ahli-ahli Majlis MPP, Ahli Jawatankuasa Penjaja Pasar Kota Padawan serta para penjaja yang berjual di situ.

Difahamkan, kempen itu menekankan kepentingan pembasmian tikus di kawasan pasar dengan antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk mengkaji Indeks Tikus melalui pemasangan perangkap, aktiviti pemasangan racun tikus, mengenalpasti laluan tikus serta pengedaran risalah kesedaran.

Selain itu, pihak MPP turut memanfaatkan penggunaan laman media sosial seperti Facebook bagi menguar-uarkan bahan kempen pada capaian yang lebih luas.

Dengan ini, ia diharapkan dapat memberi kesedaran khususnya kpeada para peniaga untuk menjaga kebersihan di tempat jualan bagi mengelakkan pembiakan tikus, sekaligus mengelakkan penyakit yang boleh membawa maut seperti penyakit kencing tikus atau leptospirosis.

Sementara itu, orang awam juga diseru agar sentiasa mengamalkan kebersihan di tempat kediaman masing-masing untuk membendung isu pembiakan tikus ini. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *