MOF Masih Teliti Perwakilan Sarawak Dalam Ahli Lembaga LHDN

UKAS  > Edisi-Utara >  MOF Masih Teliti Perwakilan Sarawak Dalam Ahli Lembaga LHDN
0 Comments

SELASA, 2 OGOS 2022

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) masih meneliti aspek-aspek perundangan berkaitan perwakilan Anggota Lembaga Pengarah dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Menterinya, Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, aspek perundangan itu adalah berkaitan penimbangan cadangan pelantikan wakil yang berasal dari Sarawak dan Sabah dalam lembaga tersebut.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni dalam Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Terdahulu, Lukanisman bertanya mengenai pertimbangan wakil tetap dari Kerajaan Sarawak sebagai Anggota Lembaga di LHDN seperti tercatat dalam Artikel 21(1) ‘Inter-Governmental Report’ 1962.

Jelas Ahli Parlimen Sibuti itu, laporan berkenaan merupakan dokumen penting yang menjurus kepada pembentukan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963.

Pada Julai lepas, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak telah mengusulkan nama calon untuk dijadikan wakilnya dalam LHDN.

Beliau memberitahu, langkah tersebut akan bantu kerajaan negeri menghasilkan satu formula di mana Sarawak akan mendapat peruntukan khas berdasarkan pendapatan yang diterima daripada negeri ini. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *