358 Ditahan Dalam Ops Tapis Khas Seluruh Sarawak

UKAS  > Edisi-Selatan >  358 Ditahan Dalam Ops Tapis Khas Seluruh Sarawak
0 Comments

KHAMIS, 4 OGOS 2022

KUCHING : Polis telah menahan 358 suspek dengan 330 daripadanya ialah lelaki dan 28 wanita dalam Operasi Tapis Khas bagi membanteras penyalahgunaan dadah di seluruh Sarawak dari 27 hingga 29 Julai lepas. 

Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mohd Azman Ahmad Sapri, sebanyak 9 seksyen kesalahan telah dikesan dalam operasi tersebut.  

“Empat suspek iaitu pengedar dadah berusia dalam lingkungan 27 hingga 47 tahun disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985. 

“Manakala seramai lapan orang penagih tegar telah dikenalpasti untuk diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang media Ops Tapis Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Pusat Media JSJN, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPD) Sarawak di sini pada Khamis. 

Mengulas lanjut, Dato Mohd Azman berkata, 155 serbuan dan pemeriksaan telah dilakukan di pelbagai tempat seperti kawasan perumahan, kawasan pinggir hutan, kebun dan lain-lain tempat yang digunakan untuk aktiviti penyalahgunaan dadah di mana ia menghasilkan 343 tangkapan. 

“Polis merampas dadah bernilai lebih RM69,618.50 termasuk syabu sebanyak 131.47 gram, 34 Pokok ganja, 1.85 gram ganja (Kanabis) dan 1.5 liter air ketum. 

“Rampasan tertinggi ialah di daerah Sibu bernilai RM56,420 diikuti Kuching bernilai RM4,970.50 manakala Miri pula sebanyak RM4,576 dan diikuit lain-lain daerah,”katanya. 

Tambahnya lagi, sebanyak 308 kertas siatan dibuka dalam tempoh operasi ini di mana 23 atau 7 peratus daripadanya telah dituduh di mahkamah, manakala bakinya masih dalam siasatan. 

Sementara itu, dalam tempoh antara 1 Januari dan 31 Julai 2022, JSJN Sarawak merekodkan sebanyak 5,491 orang tangkapan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM9,083,726.50 serta menyita harta bernilai RM1,914,003.07.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata dan Ketua JSJN Sarawak, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *