Lebih Banyak Muzium Akan Dibina Sebagai Salah Satu ‘Master Plan’ Pembangunan Sarawak

UKAS  > Edisi-Utara >  Lebih Banyak Muzium Akan Dibina Sebagai Salah Satu ‘Master Plan’ Pembangunan Sarawak
0 Comments

KHAMIS, 4 OGOS 2022

LIMBANG: Pembinaan muzium di beberapa bahagian di Sarawak merupakan salah satu daripada  ‘master plan’ dalam membangunkan negeri ini. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata, dengan adanya muzium ini akan dapat menyimpan khazanah di setiap bahagian termasuklah sejarah pembangunan dan cara hidup masyarakatnya. 

“Di sini kita menjadikan muzium kerana banyak khazanah yang berlaku di bahagian Limbang. 

“Tadi, saya melihat beberapa artifak dan juga gambar yang menunjukkan cara hidup masyarakat di Limbang ini. Ada sesuatu yang istimewa umpamanya tadi dilihat bagaimana perhubungan di antara Limbang dan Brunei melalui sungai dengan kapal yang unik. 

“Selain daripada itu beberapa juga corak hidup masyarakat yang ada di Lawas,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Muzium Limbang pada Khamis.

Tambah beliau lagi, muzium ini juga akan menjadi satu rujukan akademik tentang sejarah yang pernah berlaku di bahagian Limbang. 

Projek pembinaan Muzium Limbang ini telah bermula pada tahun 2019 dan ia merupakan satu projek di bawah rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11). 

Seni bina muzium ini diinspirasi berdasarkan Rumah Kuarters Kerajaan dan telah menjadi saksi kepada kelahiran tokoh pemimpin Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang mempunyai dua bangunan iaitu Galeri Pentadbiran dan Galeri Pembangunan. 

Di dalam galeri tersebut menempatkan sejarah pentadbiran dan pembangunan bermula dari era Brooke dan diikuti dengan perubahan sosiekonomi di Limbang, Trusan dan Lawas serta mempunyai ruang pameran, kedai cenderamata, galeri kanak-kanak dan ruang pejabat. 

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari memberitahu Kerajaan Sarawak telah menyediakan peruntukan bagi membina muzium supaya ia menjadi peringatan kepada generasi sekarang dan akan datang. 

Ujar beliau lagi, di dalam muzium itu adanya arkib yang menyimpan khazanah dan rekod-rekod yang lama yang menjadi tempat rujukan. 

“Umpamanya, mengenai dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Saya telah menghantar peguam kita ke London dan mereka pergi ke arkib muzium di mana rekod-rekod itu disimpan. 

“Dan, sekarang ini sudah lebih 50 tahun, boleh dibuka dan tiada rahsia lagi, dan kita mengambil data serta maklumat daripada arkib muzium. 

“Sebab itulah, kita berbincang berkenaan MA63, kita mempunyai fakta yang betul dan melalui rekod yang tersimpan dalam muzium,” ujar beliau lagi. 

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut merasmikan Jejantas Kuala Kubu yang menghubungkan Waterfront Limbang dengan Muzium Limbang. 

Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri Datin Zuraini Abdul Jabbar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Il Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah serta isteri Datin Elsi Marlisa Abdullah, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah I (Pemodenan Pertanian) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (Pelancongan) Datuk Sebastian Ting Chiew Yew,  Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Hii Chang Kee dan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *