Kerajaan Persekutuan Peruntuk RM200 Juta Laksana Program Penyeragaman Harga

UKAS  > Edisi-Selatan >  Kerajaan Persekutuan Peruntuk RM200 Juta Laksana Program Penyeragaman Harga
0 Comments

AHAD, 7 OGOS 2022.

KUCHING: Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM200 juta bagi pelaksanaan Program Penyeragaman Harga (PPH) di enam negeri pada tahun ini.

Menurut Perdana Menteri, Dato Sri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan menyedari perbezaan harga barangan yang ketara antara bandar dan pedalaman terutama di Sarawak.

Oleh itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) katanya telah melaksanakan program PPH demi memastikan penduduk luar bandar terutama pedalaman menikmati harga barangan keperluan pada kadar sama.

“Ini bagi membolehkan penduduk di kawasan pedalaman atau luar bandar menikmati tujuh harga barangan keperluan asas pada harga yang sama di bandar.

“Barangan tersebut ialah gula putih, tepung gandum kegunaan am/bukan kegunaan am, minyak masak sawit, beras putih, gas petroleum cecair (LPG), petrol RON95 dan diesel,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Peringkat Negeri Sarawak di Dataran Perayaan Petra Jaya, di sini pada Ahad.

Jelasnya, daripada RM200 juta, sebanyak RM125 juta ataupun lebih 62 peratus adalah khusus bagi melaksanakan program ini di Bumi Kenyalang yang memberi manfaat kepada 500,000 penduduk negeri Sarawak melibatkan 112 zon merangkumi 538 kawasan pengedaran.

Dalam pada itu, Dato Sri Ismail Sabri menambah, kerajaan akan terus mengutamakan pembangunan di negeri Sarawak.

“Ini terbukti dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM4.55 bilion yang disediakan Kerajaan Persekutuan di bawah Rolling Plan Kedua tahun 2022, RMKe-12,” ujarnya.

Pelbagai projek pembangunan yang telah dan sedang dilaksanakan untuk menjamin keselesaan dan kemudahan rakyat antaranya ialah peruntukan sebanyak RM5.77 bilion bagi membangunkan dan menaik taraf sekolah serta institusi pendidikan di Sarawak, enam projek pembinaan hospital dan klinik jumlah keseluruhan RM695.5 juta dilaksanakan di negeri ini.

Dalam majlis tersebut, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia kepada sembilan anak-anak Keluarga Malaysia yang kehilangan kasih sayang ibu bapa pada usia yang muda.

Selain itu, turut disampaikan penyampaian Surat Setuju Terima (SST) kepada dua kontraktor yang telah dilantik iaitu Indra Petra Sdn Bhd dan Izra Enterprise Sdn Bhd bagi Pembinaan Bangunan Tambahan 6 Bilik Darjah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Bengkel Kemahiran serta lain-lain kemudahan di SMK Batu Kawa dan Pembinaan Gantian 12 Bilik Darjah dan lain-lain kemudahan di SMK Lundu.

Turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri-Menteri Kabinet Persekutuan dan Negeri, Timbalan-Timbalan Menteri dan Dif-Dif Kenamaan yang lain.-EDISI UKAS-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *