15 Sekolah Mulakan Cabaran CIP-KPS 2022

UKAS  > Edisi-Tengah >  15 Sekolah Mulakan Cabaran CIP-KPS 2022
0 Comments

KHAMIS, 11 OGOS 2022.

SARIKEI: Sebanyak 15 buah sekolah menengah memulakan cabaran interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah (CIP-KPS) 2022, peringkat zon tengah Sarawak di Taman Tasik Sarikei di sini pada Rabu.

CIP-KPS merupakan program tahunan anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Tujuan utama penganjuran program ini adalah untuk mendidik, menyebar luas dan meningkatkan kesedaran kepenggunaan dalam kalangan pelajar melalui pendekatan bersepadu baharu dengan fokus utama berkaitan kepenggunaan iaitu perlindungan pengguna, pengurusan kewangan berhemat, pemakanan sihat dan pemeliharaan alam sekitar.

Ia merupakan satu platform pembelajaran interaktif yang efektif dalam usaha membentuk generasi pengguna muda, khususnya di peringkat sekolah agar menjadi seorang pengguna yang berilmu, bijak dan bertanggungjawab.

Pendidikan ini bukan sahaja memberi kebaikan kepada pelajar, malah sebagai platform penyebaran maklumat dan perkongsian dalam perkara yang bersifat kepenggunaan.

CIP-KPS 2022 dilaksanakan di Tiga Zon iaitu Zon Utara di Taman Tumbina, Bintulu, Zon Tengah di Taman Tasik Sarikei dan Zon Selatan di Samajaya Nature Reserve Park Kuching.

Zon Tengah menyaksikan 15 buah sekolah dari Bahagian Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Kapit bersaing untuk merebut tempat ke peringkat negeri.

Johan, naib johan dan tempat ketiga akan mewakili Zon Tengah ke Peringkat Negeri yang dijadualkan berlangsung pada bulan September 2022.

Johan juga akan mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada Oktober depan di Terengganu kelak. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *