Setiausaha Kerajaan Sarawak Tekankan Pentingnya Bekerja Sebagai Satu Pasukan

UKAS  > Edisi-Utara >  Setiausaha Kerajaan Sarawak Tekankan Pentingnya Bekerja Sebagai Satu Pasukan
0 Comments

JUMAAT, 12 OGOS 2022

BINTULU: Sebagai satu pasukan, setiap orang hendaklah bekerjasama dalam satu pasukan tanpa mengira kedudukan dan sebagainya. 

Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, ini kerana tiada sesiapa di dalam organisasi itu yang boleh mencapai kejayaan dengan hasil usahanya seorang. 

“Kita sebagai anggota perkhidmatan awam, jangan mempunyai perasaan bahawa saya lebih baik daripada awak.

“Jabatan saya lebih berkuasa daripada jabatan awak dan jabatan awak hanyalah jabatan kecil dan sebagainya. 

“Sebab itu, saya menekankan bahawa dalam perkhidmatan awam mesti bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.

Beliau berucap semasa menyampaikan Amanat Setiausaha Kerajaan Sarawak Bersama Pegawai Pengurusan dan Profesional Sektor Perkhidmatan Awam Sarawak dan Badan Berkanun Negeri Bahagian Bintulu dan Miri di Auditorium Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) di sini pada Khamis. 

Ujar Dato Sri Mohamad Abu Bakar lagi, beliau mahu setiap pegawai mempunyai rasa tanggungjawab terhadap tugas yang diberikan. 

“Apabila diberikan tanggungjawab, pegawai perlu mengambil tindakan segera seperti turun padang dan selesaikan masalah. Jangan terlalu berharap dengan pegawai diperingkat bahagian atau daerah. 

“Sebagai ketua jabatan perlu harus turun padang kerana rakyat mengharapkan perkhidmatan sebagai anggota perkhidmatan awam,” ujar beliau lagi. 

Beliau turut memberitahu jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Sarawak ini sebagai satu amanah yang harus dilaksanakan dan mengamalkan dasar terbuka dengan menerima pendapat dan cadangan demi kesejahteraan perkhidmatan awam.

Hadir sama Residen Bahagian Bintulu Datu Jack Aman Luat, Pengurus Besar  Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Datu Muhamad Yakub Kari, Pengarah Unit Pengurusan Sumber Manusia Datu Ismail Mohamad Hanis dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli (MUDeNR) Datu Zaidi Mahdi.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *