Jurutera Pemain Utama Realisasi Visi Sarawak, Ekonomi Maju Berpendapatan Tinggi Menjelang 2030

UKAS  > Edisi-Utama >  Jurutera Pemain Utama Realisasi Visi Sarawak, Ekonomi Maju Berpendapatan Tinggi Menjelang 2030
0 Comments

SABTU, 13 OGOS 2022

KUCHING: Jurutera adalah pemain utama dalam merealisasikan visi Sarawak untuk menjadi negeri ekonomi maju dan  berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, jurutera adalah sekumpulan profesional yang akan memberikan  keupayaan dalam kejuruteraan dari segi menaik taraf infrastruktur di negeri ini.

“Anda sebagai jurutera dalam pelbagai disiplin adalah sekumpulan profesional yang akan memberikan Sarawak keupayaan dalam kejuruteraan untuk mencapai apa yang telah kita rancangkan untuk tahun-tahun menjelang 2030.

“Apa yang paling penting adalah untuk kita menaik taraf infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, bekalan elektrik dan air, kemudahan telekomunikasi, pengangkutan awam, pelabuhan, lapangan terbang dan lain-lain.

“Tanpa infrastruktur yang baik, kita tidak dapat capai semuanya menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Makan Malam Tahunan Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Sarawak 2022 di Kuching pada Jumaat.

Premier Sarawak menambah, IEM Sarawak telah berkembang mantap mengikuti arus pembangunan ekonomi terutamanya dengan pelaksanaan strategi ekonomi digital Sarawak 2018 – 2022.

“Saya difahamkan IEM Sarawak mempunyai lebih 2,000 jurutera tempatan berdaftar dan masih merupakan badan profesional terbesar di Sarawak.

“Saya juga telah diberitahu bahawa terdapat 10,432 jurutera profesional dengan sijil amalan di Sarawak dan 9,465 lagi jurutera profesional sedang mendapatkan sijil amalan profesional mereka.

“Ini adalah barisan hadapan kita kepada pembangunan negeri untuk mencapai tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.

Dalam program sama, Premier Sarawak turut menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara Iem Cawangan Sarawak dengan Jabatan Kerja Raya Sarawak, Universiti Teknologi Swinburne Sarawak dan PCSS Consultancy Sdn Bhd.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian, Pengerusi IEM Sarawak, Dato Ir. Janang Bungsu, Naib Presiden IEM, Ir.Prof. Dr. Jeffrey Chiang Choong Luin. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *