AHAD, 14 OGOS 2022.

SIBU: BeliBeli SuperApp, sebuah perkhidmatan dalam talian, telah mencipta perniagaan yang memudahkan penduduk di Sibu untuk memesan makanan dalam talian dan menghantarnya hanya dengan menggunakan telefon bimbit.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat 1, Dr. Annuar Rapaee berkata, bagi merancakkan lagi ekosistem digital ekonomi di Sibu, beliau mencadangkan agar SDIH & belibeli bekerjasama bagi menjayakan ‘Cashless Bandong Walk & Cashless Pelangi KIOSK’ agar para peniaga dapat mengembangkan lagi perniagaan mereka.

“Ramai orang ingin datang ke Bandong Walk yang merupakan tempat yang sangat popular di kalangan penggemar makanan dan ia juga menyebabkan kesesakan berlaku kerana kekurangan tempat letak kereta.

“Oleh itu, saya percaya dengan penjaja di sana menggunakan digital, pelanggan boleh memesan makanan kegemaran mereka dengan mudah dan menghantarnya ke depan pintu rumah mereka. Semua urus niaga dalam talian.

“Bagi Bandong Walk, memandangkan lokasinya yang strategik dan semua penjaja tertumpu di satu tempat, saya fikir adalah paling ideal untuk menjadikan tempat itu sebagai pusat e-penjaja,” katanya ketika ditemui media dalam Majlis Pelancaran BeliBeli SuperApp, di Sibu Digital Innovation Hub pada Sabtu.

Beliau juga berkata usaha pendigitalan penjaja Bandong Walk adalah selaras dengan inisiatif Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg agar Sarawak menerima sepenuhnya transformasi digital.

Turut hadir Pengarah Urusan Solaku Sdn Bhd Mohd Hisham Khairul Nasir, Pengarah Urusan Caliphs Technology PLT (pengendali Hab Inovasi Digital Sibu) Abg Fairul Syarmil Abg Mohd dan wakil Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Ekonomi Digital Malaysia Corporation (MDEC) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC).

Dalam perkembangan lain, Dr Annuar turut berkesempatan merasmikan Majlis Kejohanan Liga Hoki Dewan SSC/PHNS Zon Sibu 2022, di Dewan Tertutup Bukit Lima Sibu.

Kejohanan dua hari yang berlangsung pada 13 dan 14 Ogos anjuran Sarawak Sports Corporation (SSC) dan Persatuan Hoki Negeri Sarawak (PHNS) itu disertai sebanyak 30 pasukan yang dibahagikan kepada kategori 15 tahun ke bawah (TKB), 17 TKB dan 30 TKB lelaki dan wanita.

Dalam perasmian majlis tersebut, beliau berkata sebuah padang hoki sedang dalam perancangan untuk dibina di Kemuyang.

Katanya, sebelum ini Sibu diperuntukkan sebidang tanah di Jalan Teku dan dijanjikan pembinaan padang hoki yang sudah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), bagaimanapun beliau tidak tahu mengapa ianya tidak berlaku seperti yang dijanjikan.

“Sibu harus mempunyai sebuah padang hoki, jika tiada padang, bagaimana sukan ini akan berkembang di sini.

“Saya akan terus berusaha untuk mendapatkan padang hoki untuk semua dan memohon kerjasama daripada semua, agar kita dapat merealisasikan impian ini dengan secepat mungkin,” ujarnya.

Turut hadir Setiausaha Politik Premier Sarawak Sayeed Azmee Wan Junaidi Dan Pengerusi Pengelola Kejohanan Leonardo Edmund Akau.-EDISI UKAS

add comment