Golongan Usahawan Perlu Rebut Peluang Hadir Ke Program, Promosi Produk, Tingkat Pendapatan

UKAS  > Edisi-Utama >  Golongan Usahawan Perlu Rebut Peluang Hadir Ke Program, Promosi Produk, Tingkat Pendapatan
0 Comments

ISNIN, 22 OGOS 2022

LAWAS: Golongan usahawan di negeri ini diseru untuk merebut peluang kehadiran ke program berskala besar untuk mempromosikan produk-produk yang diusahakan sekaligus meningkatkan pendapatan mereka.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, penglibatan dan kehadiran mereka akan membantu meningkatkan jaringan pemasaran produk kepada para pengguna secara lebih luas.

Mengambil contoh penganjuran program Fun Ride Amal Masjid Besar Lawas, beliau menegaskan, para peserta yang datang dari Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Labuan dan juga Kota Kinabalu boleh membawa bersama produk-produk kawasan asal mereka untuk dipromosikan kepada peserta Sarawak.

“Dalam masa sama, rakyat tempatan juga boleh mempromosikan produk mereka kepada orang luar.

“Kalau kita pergi ke Sabah pula, kita juga boleh berbuat demikian. Hal ini akan bantu perluaskan jaringan pemasaran sebarang produk oleh para usahawan,’’ katanya ketika berucap dalam majlis penutupan Fun Ride tersebut di Taman Awam Lawas pada Sabtu.

Menyentuh berkenaan program itu, Timbalan Premier Sarawak menegaskan, gaya hidup berbasikal harus menjadi amalan bagi meningkatkan tahap kesihatan fizikal dan mental.

Beliau mengulas lanjut, basikal sebagai satu kaedah pengangkutan sudah digunakan dalam kehidupan harian masyarakat dari beberapa negara luar termasuk Amerika Syarikat, Belanda dan China.

“Di Amsterdam khususnya, kawasan tersebut mempunyai laluan tersendiri untuk pengguna basikal, dan mereka menggunakan pengangkutan tersebut bukan sahaja untuk tujuan rekreasi malahan juga bagi menjalankan sebarang aktiviti harian,’’ ujarnya.

Program Fun Ride itu telah mendapat sambutan hangat dengan penyertaan 300 peserta dari Lawas dan Sabah yang mula berkayuh dari bandar Lawas ke Kuala Lawas sebelum menamatkan kayuhan di Taman Awam Lawas.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Dato’ Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang, Sebi Abang, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Awangku Zainal Abidin Dato Pgn Jawa dan Pengerusi Fun Ride Amal Masjid Besar Lawas, Osman Adol. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *