JUMAAT, 26 OGOS 2022

KUCHING: Isteri Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr) Norlidah Tan Sri Datuk R.M. Jasni bersama rombongan dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Jantung Sarawak di sini pada Jumaat.

Rombongan disambut oleh isteri kepada Timbalan Premier Sarawak, Datin Sri Enn Ong Siok Ean dan Pengarah Pusat Jantung Sarawak, Dr. Mohd.Asri Riffin.

Setibanya di Pusat Jantung Sarawak, Toh Puan Datuk Seri Panglima Norlidah serta rombongan diberikan taklimat khas oleh Dr Mohd Asri dan seterusnya dibawa melawat ke wad di tingkat enam di mana seramai 20 pesakit telah menerima sumbangan daripada Toh Puan Datuk Seri Panglima Norlidah. 

Sementara itu, isteri Premier Sarawak yang juga Pengerusi SABATI Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang turut hadir dan menyempurnakan penyerahan sumbangan berupa ‘angpow’ dan barangan keperluan asas.

Turut sama dalam lawatan itu adalah isteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Yang Dipertua Mutiara GRS, Datin Seri Panglima Juliah Salag dan isteri kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datin Noraini Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali; isteri kepada Speaker DUN Sarawak, Dato Fatimah Mohd. Iskandar serta dif-dif kenamaan yang lain.

Pada petang Jumaat, Toh Puan Datuk Seri Panglima Norlidah serta rombongan berlepas pulang ke Sabah dengan menaiki pesawat khas sekitar jam 4.45 petang.-EDISI UKAS

add comment