Jelajah Integriti Diteruskan Di Daerah Sebauh

UKAS  > Edisi-Utama >  Jelajah Integriti Diteruskan Di Daerah Sebauh
0 Comments

JUMAAT, 26 OGOS 2022

SEBAUH: Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak Jabatan Premier Sarawak (UNIONS) meneruskan penganjuran Program Jelajah Integriti Siri 8/2028 untuk Bahagian Bintulu dengan kerjasama Pejabat Pentadbiran Bahagian Bintulu bertempat di Balai Raya Sebauh baru-baru ini.

Dirasmikan oleh Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, YB Dato Sri Dr. Stephen Rundi, program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) Daerah Sebauh.

Dalam ucapan perasmiannya, Dato Sri Dr. Stephen Rundi telah menyarankan KMKK yang hadir untuk mengemukakan aduan atau cadangan di kawasan masing-masing pada saluran yang betul dan bukannya melalui media sosial.

Beliau mengambil contoh peristiwa pokok tumbang beberapa tahun lepas yang telah dikongsi dalam media sosial sedangkan pokok tersebut boleh dipotong secara gotong-royong jika mempunyai rasa tanggungjawab kepada diri sendiri.

Selain itu katanya, integriti hendaklah dipupuk bermula daripada bangku sekolah dan di rumah dengan ibu bapa dinasihatkan supaya tidak bergaduh atau meninggikan suara di hadapan anak-anak supaya mereka tidak melakukan perkara yang sama pada masa hadapan.

“Pendidikan moral telah ditawarkan pada peringkat persekolahan untuk memupuk integriti daripada awal kerana jika sesebuah negara dapat meningkatkan tahap integriti sudah pasti negara tersebut akan berjaya.

“Kita juga boleh memilih antara penguatkuasaan undang-undang yang ketat seperti mengenakan kompaun yang tinggi untuk setiap kesalahan yang dilakukan seperti merokok di tempat awam atau menerapkan budaya integriti supaya setiap individu mempunyai untuk tidak melakukan kesalahan tersebut,” katanya.

Menurut Dato Sri Dr. Stephen Rundi, sehari sebelum program jelajah integriti ini, beliau telah menghadiri majlis bersama warga pendidik Tatau dan Sebauh.

Pada majlis tersebut, beberapa anugerah telah diberikan kepada pada para guru seperti  Pengucap Awam Terbaik, Guru Bahasa Inggeris Terbaik dan lain-lain.

“Namun begitu bagi saya integriti dan disiplin adalah amat penting untuk para guru supaya mereka tidak menjadi seperti ‘harapkan pagar, pagar makan padi’.

“Integriti adalah salah satu elemen penting dalam kepimpinan sama ada di peringkat akar umbi atau atasan kerana semua orang mempunyai keinginan atau kemahuan untuk diri sendiri yang jika tidak dikawal mungkin menyebabkan penyalahgunaan kuasa akan berlaku,” katanya lagi.

Sebagai rekod, UNIONS telah diwujudkan oleh kerajaan pada hari ini kerana Kerajaan GPS percaya dengan integriti dapat memajukan menjayakan Sarawak maju menjelang tahun 2030 selain daripada pembangunan ekonomi, infrastruktur dan lain-lain.

Pada masa ini, kementerian beliau sedang berusaha untuk meningkatkan pendapatan seisi keluarga petani di Sarawak hingga mencecah RM6,000 sebulan dengan menggunakan pendekatan baharu dalam pertanian kerana setiap usaha yang dilakukan perlu memberi pulangan yang setimpal dan meninggalkan perkara-perkara yang tidak menguntungkan.

“Terdapat tiga perkara yang perlu dilakukan untuk berjaya iaitu ilmu, kehendak dan berani meminta bantuan/tunjuk ajar cara untuk berjaya.

“Rakyat juga hendaklah jangan membandingkan agama dan budaya antara satu sama lain kerana keharmonian dan perpaduan diperlukan dalam kehidupan.

“Ini telah dibuktikan dengan pembinaan masjid dan gereja di Sebauh bersebelahan satu sama lain yang bernilai RM10 juta masing-masing dan uniknya tempat ibadat tersebut berkongsi tempat meletak kereta.”

Dato Sri Dr. Stephen Rundi juga menerangkan beberapa faktor menyebabkan banyak projek sakit di Sarawak.

Antara yang ditekankan beliau ialah prosedur kerajaan untuk memilih kontraktor yang menawarkan tender terendah sebagai pelaksana projek sehingga menyebabkan kontraktor tersebut tidak dapat menjalankan projek dengan cekap ekoran kenaikan kos bahan binaan pada masa kini.

“Kerajaan akan mengkaji semula prosedur tersebut supaya projek-projek pembangunan dapat dijalankan dengan lancar,” ujar beliau ketika mengulas lanjut berkenaan projek sakit.

Mengenai penurunan harga jualan sawit daripada RM1,500 per tan ke RM600 lebih per tan, Dato Sri Dr. Stephen Rundi menasihatkan para pekebun supaya berjimat cermat dalam perbelanjaan seharian kerana kos penanaman kelapa sawit semakin meningkat dengan kenaikan harga baja, racun dan risiko lain yang perlu ditanggung.

Katanya, usaha sama penanaman kelapa sawit di tanah NCR tidak mendatangkan keuntungan kepada pemilik tanah sehingga mereka tidak menerima dividen yang sepatutnya diterima.

Oleh itu tambah beliau, pihak agensi kerajaan yang bertanggungjawab perlu mengetahui perbelanjaan dan pendapatan yang dikemukakan oleh para pengusaha tanah NCR adalah berpatutan dan munasabah untuk memastikan kebajikan para pemilik tanah terbela.

Tambah beliau, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga perlu telus dan tidak menjadikan JKKK sebagai organisasi kekeluargaan dengan melantik ahli keluarga sendiri sebagai ahli jawatankuasa.

Pada program yang sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Ombudsman), Dato’ Dr Juanda Jaya dalam ucapan aluannya menyeru KMKK agar sentiasa memantau segala aktiviti mahupun projek pembangunan di kawasan masing-masing supaya berjalan dengan lancar, tidak bermasalah dan akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Sekiranya projek dilaksanakan agak lembab atau tidak mengikut spesifikasi yang telah diluluskan, adalah menjadi tanggungjawab tuan/puan untuk melaporkan perkara tersebut kepada agensi berkaitan,” tambah beliau.

Beliau turut mengingatkan KMKK supaya peka dan melaporkan kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan masing-masing seperti seperti penjualan dadah di kawasan kampung, kehadiran pendatang asing tanpa izin, kecurian buat sawit dan sebagainya.

Pada program tersebut juga, Dato’ Dr Juanda Jaya menerangkan antara fungsi UNIONS sebagai Pengurusan Aduan Ombudsman iaitu saluran untuk orang awam untuk mengemukakan aduan dan cadangan berkaitan dengan perkhidmatan agensi dan jabatan kerajaan. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *