JUMAAT, 26 OGOS 2022

SIBURAN: Semua penduduk di daerah Siburan diseru untuk tampil melakukan saringan kesihatan terutamanya golongan berumur 40 tahun ke atas.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr. Jerip Susil berkata, saringan kesihatan adalah penting dijadikan sebagai satu pelaburan untuk masa hadapan.

Jelasnya, difahamkan setakat Julai 2022, bahagian Serian telah mencapai 524 orang atau 42.7 peratus daripada 1225 orang yang disasarkan untuk tahun 2022 di bawah saringan kesihatan Peka B40.

“Misalnya untuk bahagian Serian, kita perlu meningkatkan lagi bilangan mereka yang berusia 40 tahun untuk menjalani saringan kesihatan.

“Ianya masih rendah dan perlukan komitmen semua pihak bagi memastikan bahagian Serian mencapai sasarannya untuk tahun 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Daerah Siburan di Dewan Siburan, pada Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu juga menambah, program jelajah ANMS mampu menyokong dan menepati usaha semua pihak menjadikan Keluarga Malaysia amnya dan penduduk Siburan khasnya sihat sejahtera.

“ANMS adalah bertujuan untuk menjadikan rakyat Malaysia yang sihat sejahtera dengan mengamalkan cara hidup sihat seperti melakukan aktiviti kecergasan fizikal, makan secara sihat, bijak menangani stress, tidak merokok dan menjaga kebersihan persekitaran. 

“Kita bukan hanya mahu sihat dari segi fizikal tetapi juga sihat dan sejahtera dari segi mental,” ujarnya. -EDISI UKAS

add comment