Kerajaan Sarawak Ambil Keputusan Bangunkan Semula SK Ulu Segan Demi Keselamatan Pelajar & Guru

UKAS  > Edisi-Utama >  Kerajaan Sarawak Ambil Keputusan Bangunkan Semula SK Ulu Segan Demi Keselamatan Pelajar & Guru
0 Comments

KHAMIS, 1 SEPTEMBER 2022

BINTULU: Kerajaan Sarawak mengambil keputusan untuk membina bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Segan bagi menjamin keselamatan dan suasana pembelajaran yang kondusif untuk para pelajar serta guru di situ. 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, keputusan tersebut diambil setelah beliau mendapat tahu tentang isu yang mereka hadapi termasuk bencana banjir yang merosakkan infrastruktur sekolah berkenaan. 

“Setelah melawat ke bangunan lama SK Ulu Segan pada Februari 2018, saya mendapati lokasinya tidak sesuai disebabkan isu banjir di mana ia telah menjejaskan bangunan sekolah termasuk asrama yang menempatkan para pelajar. 

“Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk membangunkan bangunan baharu demi menjamin keselamatan dan keselesaan anak-anak yang menuntut di sini dan juga untuk para guru,” jelasnya pada sidang media selepas melawat ke bangunan baharu SK Ulu Segan di sini pada Khamis. 

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, infrastruktur baharu dengan kos sekitar RM26 juta itu akan dijadikan model bagi membangunkan sekolah-sekolah lain di Sarawak pada masa depan. 

“Reka bentuk bangunan baharu yang indah ini sememangnya merupakan pertama sekali dilaksanakan di Malaysia,” jelasnya. 

Sementara itu, Premier Sarawak berkata, sekolah tersebut turut akan dilengkapi dengan jaringan internet pada masa depan. 

“Infrastruktur internet sudah ada. Jadi yang tinggal hanyalah untuk menyambungkannya dengan sekolah ini,” tambahnya lagi. 

Dalam pada itu, beliau berharap projek tersebut akan mampu memberi manfaat kepada para pelajar supaya dapat belajar dalam suasana yang lebih baik, seterusnya mendapat masa depan yang cerah. 

Untuk rekod, skop pembinaan gantian penuh sekolah tersebut antara lain merangkumi blok pentadbiran, blok akademik, kuarters, asrama, dewan makan, tadika, gelanggang permainan dan tempat letak basikal berbumbung. 

Difahamkan, selepas pemindahan kelengkapan sekolah siap dipasang, Jabatan Kerja Raya Wilayah Utara akan menyerahkan bangunan tersebut kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak untuk memutuskan tarikh pemindahan dari sekolah lama ke bangunan baharu itu. 

Hadir sama pada lawatan itu ialah dua Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Dato Gerawat Gala, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr Annuar Rapa’ee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Datuk Talib Zulpilip, Residen Bahagian Bintulu, Datu Jack Aman dan Guru Besar SK Ulu Segan, Yahya Piduman. -Edisi UKAS 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *