Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak Tingkat Kerjasama Rancakkan Pembangunan Luar Bandar

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak Tingkat Kerjasama Rancakkan Pembangunan Luar Bandar
0 Comments

SELASA, 20 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak terus meningkatkan jalinan kerjasama bagi merancakkan lagi pembangunan di kawasan luar bandar.

Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato’ Amir Omar memberitahu, usaha yang akan dilaksanakan tertumpu kepada pembinaan sekolah, kemudahan kesihatan serta jalan raya di kawasan Lawas, Ba’kelalan dan Kapit.

“Banyak usaha yang kita ketengahkan bagi meningkatkan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Negeri terutamanya dari segi pembangunan dengan kerajaan Persekutuan juga berusaha merancakkan pembangunan kawasan luar bandar.

“Tumpuan yang saya cadangkan kepada Premier Sarawak adalah untuk melihat kepada usaha seperti pembinaan sekolah dan kemudahan kesihatan.

“Ini akan meningkatkan lagi kualiti hidup masyarakat luar bandar di Sarawak,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Dato’ Amir memberitahu, sebanyak RM3.8 bilion telah diperuntukkan bagi projek-projek pembinaan yang akan dijalankan di negeri ini.

Sementara itu, Premier Sarawak turut menerima kunjungan hormat daripada rombongan Sarawak Media Group yang diketuai oleh Pengerusinya, Dato Norhyati Mohamad Ismail.- EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *