Pekebun Kecil Koko Diberi Latihan, Tingkat Keupayaan & Kemahiran

UKAS  > Edisi-Selatan >  Pekebun Kecil Koko Diberi Latihan, Tingkat Keupayaan & Kemahiran
0 Comments

KHAMIS, 22 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Malaysia amat komited untuk memastikan pekebun koko dapat menjana pendapatan yang baik dan terus kekal relevan dalam industri koko negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Willie Mongin berkata, ke arah itu kementeriannya bersama Lembaga Koko Malaysia (LKM) dan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) telah menganjurkan Kursus Pelatih Super Koko (PSK).

Menurutnya, menerusi kursus berkenaan, ia mendorong para pekebun koko untuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran mereka bagi menjamin kemampanan sumber pendapatan dalam jangka masa panjang

“Kursus PSK ini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan menerusi Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) yang telah dilancarkan pada tahun 2021 dan Pelan Strategik Lembaga Koko Malaysia Tahun 2021-2025.

“Ini bagi memperluaskan program pengembangan untuk melatih dan membina keupayaan pekebun kecil koko, memperkukuhkan amalan pengurusan ladang dengan meningkatkan kemahiran dan pentauliahan tenaga kerja di kalangan pekerja ladang, penyelia eksekutif dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis penutupan kursus berkenaan di sini pada Khamis.

Terdahulu semasa berucap, Datuk Willie yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo berkata, kursus itu amat penting untuk membantu para peserta mengembangkan penanaman koko selain mengaplikasikan teknologi terkini yang disarankan oleh LKM.

“LKM dengan kerjasama IMPAC diiktiraf sebagai institut yang melahirkan graduan agrikomoditi unggul dan kompeten.

“Saya percaya dengan pendedahan yang telah diberi menerusi Kursus PSK ini, para peserta akan lebih mengenali amalan terbaik dalam pengurusan tanaman koko, pembajaan yang berkesan, pengurusan perosak bersepadu dan jangkitan ulat perosak koko, pengendalian racun perosak serta penggunaan aplikasi digital dalam tanaman koko.

Ujar beliau lagi, selaras dengan era digitalisasi kini, pengurusan tanaman koko turut berkembang pantas dengan penyediaan dan penggunaan Aplikasi Action Threshold – Integrated Pest Management (AT-IPM CACAO) dan Aplikasi Decision Making Cocoa (DMCOCOA) yang berperanan membantu pengusaha tanaman koko untuk mengurangkan penggunaan racun serangga, seterusnya dapat mengurangkan kos perbelanjaan dan meningkatkan keuntungan.

Seramai 40 orang telah dipilih untuk menyertai kursus tersebut yang terdiri daripada 10 orang ejen pengembangan LKM dan 30 orang komuniti pekebun koko aktif dari Tebedu, Padawan, Sebuyau, Asajaya, Sarikei dan Julau yang diadakan selama empat hari bermula 19 September hingga 22 September 2022.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *