Sukan Perpaduan AMal Medium Penyatuan Murid Pelbagai Kaum

UKAS  > Edisi-Utara >  Sukan Perpaduan AMal Medium Penyatuan Murid Pelbagai Kaum
0 Comments

ISNIN, 3 OKTOBER 2022

MIRI: Program Sukan Perpaduan Asrama Malaysia (AMal) merupakan satu medium penyatuan yang paling berkesan bagi mengeratkan hubungan murid pelbagai kaum.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Malaysia Zainal Abas berkata, program ini adalah salah satu pendekatan berterusan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian untuk pembangunan minda murid yang akan memberi impak positif terhadap pemikiran anak-anak Malaysia apabila pendedahan terhadap kepelbagaian budaya dididik seawal bangku sekolah lagi.

“Tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa program sebeginilah merupakan kunci untuk membuka minda murid-murid kita untuk menerima kepelbagaian ilmu, pengalaman dan kesedaran diri masing-masing tentang kepentingan perpaduan.

“Peluang seperti ini dapat mendedahkan murid-murid agar lebih dekat dengan budaya heterogen pelbagai kaum apabila murid dapat memperkasakan kemantapan ilmu dan menerima cara hidup yang berlainan budaya, adat resam sekali gus mengukuhkan lagi nilai perpaduan antara kaum serta wilayah meskipun melalui aktiviti sukan,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Penutupan Sukan Perpaduan AMal Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang pada Ahad.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Datu Dr Azhar Ahmad berkata, sukan perpaduan ini dilaksanakan dengan hasrat mewujudkan sekolahku sejahtera dengan suasana sekolah yang selamat, aman, selesa, menggembirakan, membina dan inklusif ke arah mencapai kesejahteraan masyarakat.

Tambah beliau lagi, menerusi pelibatan semua murid dalam aktiviti AMal ini, nilai-nilai murni sekolah sejahtera sentiasa tersemat di hati dan dijiwai sehingga menjadi budaya.

“Biarpun berlainan kaum, budaya dan bangsa, namun segala ini mampu diatasi dengan percampuran yang sihat dalam sukan perpaduan ini.

“Platform ini juga merupakan wadah dalam mencungkil bakat murid asrama Malaysia dalam bidang sukan, kokurikulum dan kepimpinan sekali gus menjana daya saing antara asrama Malaysia dan asrama harian secara positif,” ujarnya.

Program Sukan Perpaduan Asrama Malaysia (AMal) 2022 merupakan penganjuran program yang julung kali diadakan di Malaysia dan pada tahun ini Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah Miri bersama Asrama Malaysia Sarawak, Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang telah diberi mandat untuk mengelolakan dan menjadi tuan rumah program ini.

Penglibatan penghuni Asrama Malaysia melibatkan empat buah Asrama Malaysia iaitu Asrama Malaysia Kuala Lumpur-Victoria Institution, Asrama Malaysia Johor-SM (P) Sultan Ibrahim, Asrama Malaysia Sabah- Maktab Sabah dan Asrama Malaysia Sarawak-Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Miri.

Selain itu, penyertaan Sukan Perpaduan AMal 2022 ini turut dibuka kepada murid asrama harian negeri-negeri lain iaitu Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Kelantan.

Terdapat beberapa aktiviti yang dipertandingkan pada tahun ini seperti bola tampar, futsal, bola jaring dan sukan rakyat seperti menyumpit, batak lampung, baling selipar, lumba tarik upih dan terompah gergasi.- EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *