Masyarakat Igan Perlu Bersedia, Berani Rebut Peluang Ekonomi

UKAS  > Edisi-Tengah >  Masyarakat Igan Perlu Bersedia, Berani Rebut Peluang Ekonomi
0 Comments

SELASA, 11 OKTOBER 2022

IGAN: Masyarakat di Igan harus bersedia merebut peluang ekonomi yang bakal dinikmati daerah itu sebaik pelbagai infrastruktur yang sedang dibina siap dibangunkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman) Datuk Murshid Diraja Dr Juanda Jaya berkata projek pembinaan Jambatan Igan yang sedang dilaksanakan bakal mengubah lanskap pembangunan di daerah itu apabila ia siap sepenuhnya kelak.

Justeru katanya, pembangunan secara besar-besaran perlu dibuat untuk menerima kepesatan pengunjung yang melalui dan bertandang ke Igan dengan adanya akses Jambatan Igan nanti.

Selain itu tambahnya, Igan juga bakal menjadi tumpuan ramai apabila Jalan Kebuaw-Sibu siap dibina sekali gus merancakkan pembangunan di situ.

Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng itu lagi, sektor perikanan, makanan serta inap desa akan mendapat sambutan dan berkembang kerana permintaannya bertambah hasil kemasukan orang luar.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyampaian Cek Pampasan Bagi Projek Pengambilan Balik Tanah Dalam DUN N.44 Jemoreng di Pusat Sumber Kg Pulau Igan pada Selasa.

Menurutnya, perubahan ini akan memberi limpahan ekonomi kepada penduduk kampung untuk menjana lebih pendapatan.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan penerima cek untuk menggunakan wang pampasan tersebut secara berhemah terutama untuk simpanan masa hadapan.

Seramai 52 penduduk menerima pampasan berjumlah keseluruhan RM2,089,915.85.

Pecahan projek dan penerima adalah Cadangan Pembinaan Jalan Raya di Tian Matu (Kpg Kebuaw/Kpg Masjid/Kg Tengah/Kpg Padang/Kpg Tinak) Matu, Mukah (21 penerima, RM524,222.50); Skim Pembesaran Kpg Igan, Mukah (25 penerima, RM1,079,956.25) dan Site for Igan Service Centre, Mukah (6 penerima, RM485,747.10). – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *