GPS Akan Bertanding Di 31 Kerusi Parlimen Pada PRU-15

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  GPS Akan Bertanding Di 31 Kerusi Parlimen Pada PRU-15
0 Comments

SELASA, 18 OKTOBER 2022

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bertanding di kesemua 31 kerusi Parlimen di Sarawak dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang ini. 

Pengerusinya Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ini berlandaskan kepada satu perjuangan iaitu Sarawak Diutamakan. 

Jelas beliau, untuk itu GPS akan mengeluarkan manifesto sendiri dan juga merupakan pertama kali bertanding atas nama sendiri. 

“GPS sebenarnya sudah bersedia untuk pilihan raya (PRU-15) ini. 

“Kita telah menubuhkan jawatankuasa untuk kita menjalankan tugas dari semua sudut bagi membolehkan GPS menjalankan amanah yang telah diberi kepada GPS melalui PRN Sarawak ke-12 dahulu. 

“Apa yang kita perlu ialah mempunyai suara yang kuat juga di peringkat Parlimen,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS di Ibu Pejabat PBB di sini pada Selasa. 

Tambah Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi, GPS juga telah mengesahkan kedudukan parti di setiap kawasan Parlimen yang ditandingi. 

“Semua kawasan yang akan ditandingi sudah kita putuskan di kalangan komponen parti dengan meletakkan calon-calon seperti yang telah diputuskan.

“Sekarang ini masih ada beberapa lagi kerusi yang akan kita lihat keadaannya kerana kita belum tahu tarikh hari penamaan calon,” tambahnya. 

GPS merupakan gabungan parti dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Pada 10 Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 diadakan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan mesyuarat khas untuk membincang dan menentukan tarikh-tarikh penting PRU15 Khamis ini.

Hadir sama Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Presiden PRS Datuk Joseph Salang Gandum, Presiden SUPP Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *