Kongsi Kisah Lagenda & Cerita Menarik Sebagai Produk Pelancongan Baharu

UKAS  > Edisi-Selatan >  Kongsi Kisah Lagenda & Cerita Menarik Sebagai Produk Pelancongan Baharu
0 Comments

ISNIN, 24 OKTOBER 2022

SIMUNJAN: Penduduk di parlimen Batang Sadong diseru tampil dan berkongsi kisah lagenda mahupun cerita menarik di kawasan masing-masing untuk dihasilkan sebagai produk pelancongan baru.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato Sri Nancy Shukri berkata, beliau percaya banyak lagi khazanah budaya dan seni terdapat di Sarawak yang perlu diterokai dan diberi nafas baru bagi menarik penyertaan anak-anak muda.

Katanya, sudah menjadi hasrat kementeriannya (MOTAC) menerusi Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) untuk melahirkan generasi berbudaya dan menghargai warisan budaya seni lama negara yang berkemungkinan akan pupus jika tidak dipelihara dan dihargai pada hari ini.

“Matlamat kita hanya satu iaitu menyemarakkan semula warisan seni budaya tinggalan nenek moyang kita suatu masa dahulu, untuk dihargai dan dipelihara anak-anak muda masa kini.

“Kita juga mahu memastikan nilai warisan seni dan budaya di tempat kita ini, dapat diwangkan menerusi sektor pelancongan, seni dan budaya, kerana tarikan unik dan tersendiri sebegini, merupakan elemen yang dicari-cari pelancong dari negara luar ketika bercuti, lebih-lebih lagi bagi mereka mahu merasai percutian yang memberi pengalaman bermakna untuk di bawa pulang ke negara masing-masing kelak.

“Ia secara tidak langsung, menjadikan nilai-nilai warisan seni dan budaya di tempat kita, produk pelancongan baru yang merupakan antara sasaran MOTAC dalam Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 (DPN 2020-2030), untuk menjadikan Malaysia, destinasi percutian pilihan masyarakat luar,” katanya semasa berucap menyaksikan pementasan Teater Muzikal Putri Sadong sempena Festival Citrawarna Kesenian dan Kebudayaan Simunjan 2022 pada Ahad.

Dato Sri Nancy yang juga bekas Ahli Parlimen Batang Sadong mengucapkan syabas dan tahniah kepada Persatuan Kebajikan Anak Jati Simunjan (PERKAJAS) selaku penganjur yang terus komited selama hampir dua bulan mengadakan faeztival berkenaan sejak September lalu.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Pengarah Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Sarawak Noor Seela Noor Sulaiman, Pemangku Pegawai Daerah Simunjan Zainap Halip serta Pengerusi PERKAJAS Abdul Lattif Poli. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *