Persatuan Dayak Miri Komited Perkukuh, Mantapkan Penggunaan Bahasa Iban

UKAS  > Edisi-Utara >  Persatuan Dayak Miri Komited Perkukuh, Mantapkan Penggunaan Bahasa Iban
0 Comments

SELASA, 25 OKTOBER 2022

MIRI: Bahasa Iban perlu lebih kukuh dan dimantapkan peranannya di setiap lapisan masyarakat khususnya masyarakat Iban.

Ahli Dewan Negara Senator Dato Dr. Nuing Jeluing berkata, penggunaan Bahasa Iban perlu diterapkan dan dipertingkatkan agar seiring dengan penggunaan bahasa-bahasa utama lain di Malaysia.

Beliau berkata, ke arah itu, Persatuan Dayak Miri (DAM) menganjurkan Pertandingan Pidato Bahasa Iban untuk melahirkan kalangan generasi yang berilmu serta mempunyai ketokohan dalam menyuarakan pendapat dengan lebih berkesan.

Beliau berkata demikian dalam Final Pekit Pidato Jaku Iban Piala YB Senator Dato Dr. Nuing Jeluing Hotel Dynasty di sini pada Sabtu.

Dato Dr. Nuing berkata, pertandingan ini terbuka kepada semua murid-murid sekolah menengah di sekitar Bahagian Miri dan diadakan pada bulan Oktober bersempena dengan Sambutan Perayaan 60 tahun DAM.

Seramai tujuh orang pelajar sekolah menengah telah terpilih selepas peringkat saringan di Ruai Francis Loke pada 8 Oktober lepas.

Peringkat akhir pertandingan itu menyaksikan tempat pertama dimenangi oleh Dimas Imanuel Jimmy yang membawa pulang wang tunai RM700 serta piala, tempat kedua dimenangi oleh Tatia Lolea Ning Mamat yang membawa pulang wang tunai RM500 serta piala dan tempat ketiga dimenangi oleh Mike Rawing Christopherson yang membawa pulang wang tunai RM300 serta piala.

Dalam majlis ini juga, DAM turut menyampaikan sumbangan kepada seramai 46 pelajar daripada 12 buah sekolah yang terpilih iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Senadin, SK Sg. Buri, SK Lepong Ajai, SK Tudan, SK Beluru Central, SK Temenggong Muip, SK Merbau, SK Lambir Village, SK Pujut Corner, SK Entulang, SK Tudan Jaya dan SK Kuala Baram II.

Hadir sama Presiden Persatuan Dayak Miri (DAM) Wilfred Mac, Penasihat Undang-undang DAM Jonathan Bedindang, Penasihat Ekonomi DAM Serawa Budol, Ketua Seksyen Belia DAM Martin Dinil dan Ketua Seksyen Wanita DAM Jacqueline Selaka.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *