GPS Mahu Kerajaan Persekutuan Yang Stabil

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  GPS Mahu Kerajaan Persekutuan Yang Stabil
0 Comments

SABTU, 29 OKTOBER 2022

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahu kerajaan Persekutuan yang stabil dalam membangunkan negara mencapai status maju.

Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Malaysia adalah negara persekutuan, di mana kuasa diletakkan di bawah kerajaan Persekutuan serta perkongsian kuasa dalam perkara tertentu.

Justeru katanya, adalah penting bagi kerajaan Persekutuan untuk mentadbir negara dengan memandangkan kepentingan Sarawak di bawah konsep Persekutuan.

“Kita ada hak kita, mereka juga ada hak mereka. GPS akan lindungi hak Sarawak.

“Kita sedang berjuang melalui Ahli Parlimen kita yang telah mendapat kejayaan di mana Perjanjian Malaysia (MA63) adalah sebahagian Perlembagaan Malaysia hari ini dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) telah diiktirafkan.

“Ini adalah perjuangan Ahli -Ahli Parlimen kita yang lalu. Kita tidak berhenti, PRU-15 kita hantarkan suara yang besar di Parlimen supaya ahli kita boleh bersuara untuk kepentingan negeri kita,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera Pemuda GPS di Stadium Tertutup di sini pada Sabtu.

Premier Sarawak menambah, GPS akan meneruskan visi 2030 mereka untuk memberi manfaat kepada generasi masa kini dan akan datang.

Dalam pada itu Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari juga menyeru golongan muda yang bakal menyambung legasi kepimpinan negeri ini untuk terus membangunkan Malaysia dengan menjadikan Sarawak sebagai jantung kepada pembangunan kerana Sarawak memiliki kekuatannya.

“Kita kerja bersama dalam GPS dan kita tolak perbezaan peribadi kita.

“Kita berjuang untuk masa depan kita dan untuk orang di belakang kita iaitu mereka yang belum lahir dan sedang membesar,” katanya lagi.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *