Regata Sarawak 2022 Kembali Tarik Penyertaan Antarabangsa

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Regata Sarawak 2022 Kembali Tarik Penyertaan Antarabangsa
0 Comments

SABTU, 29 OKTOBER 2022

KUCHING: Sungai Sarawak kembali berkocak dengan penganjuran Regata Sarawak pada tahun ini selepas dua tahun tidak diadakan berikutan pandemik COVID-19.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ia telah mendapat sambutan menggalakkan dari segi penyertaan peserta antarabangsa serta tempatan.

“Saya difahamkan bahawa sambutan sangat menggalakan yang mana dari sudut penyertaan antarabangsa dalam Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Sarawak dan minggu hadapan juga dijangka banyak penyertaan daripada peserta tempatan dalam Regata Sarawak kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Festival Regata Sarawak: Tebingan Sungai Kuching 2022 di sini pada Sabtu.

Selain itu Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, Regata Sarawak kali ini juga turut memberi limpahan manfaat kepada usahawan tempatan.

“Saya telah difahamkan, jualan kraftangan telah meningkat hampir RM200, 000 walaupun baru sahaja dibuka semalam,”ujarnya lagi.

Terdahulu beliau telah menyempurnakan Majlis Memperingati Bulan Kanser Payudara dan kemudiannya menyempurnakan majlis “eye dotting” dan penyerahan paddle oleh Temenggong Bahagian Kuching sebagai simbolik perasmian Regata Sarawak tahun ini.

Sejurus selepas itu, Premier Sarawak bersama di-dif kehormat lain telah mengunjungi ‘booth’ jualan kraftangan serta menyempurnakan Mini Pelancaran Festival Kraf Tekstil Borneo.

Hadir sama ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif  dan Seni Persembahan Sarawak Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato’ Sri Nancy Shukri, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar serta dif-dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *