JPBB Miri Siap Siaga Hadapi Banjir

UKAS  > Edisi-Utara >  JPBB Miri Siap Siaga Hadapi Banjir
0 Comments

RABU, 2 NOVEMBER 2022

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri bersedia untuk menghadapi banjir berikutan fenomena Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November 2022 hingga Mac 2023.

Pengerusinya yang juga Residen Bahagian Miri, Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata, pihaknya telah memastikan kesiapsiagaan operasi JPBB Miri serta semua jabatan dan agensi di Bahagian Miri bersedia sepenuhnya berhadapan banjir selain persediaan sekiranya berlaku banjir semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

“Semua agensi yang terlibat perlu segera menggerakkan bahagian dan pasukan masing-masing ke kawasan yang dijangka berlaku banjir bagi memastikan penduduk selamat dan mendapat bantuan awal yang sewajarnya,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Operasi Pengurusan Bencana Banjir (Op Banjir 1/2022) di Kompleks Islam Sarawak Miri pada Rabu.

Dalam pada itu, JPBB Miri turut memaklumkan setakat ini Bahagian Miri yang merangkumi daerah Miri, Subis, Marudi, Beluru dan Telang Usan mempunyai sebanyak 48 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta 8 Pusat Pangkalan Hadapan yang ditempatkan di kawasan pedalaman Baram.

Hadir sama dalam mesyuarat ini ialah Timbalan Residen Bahagian Miri Juan Abit, Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusuf, Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu dan Pegawai Daerah Telang Usan Baru Tai.

Dalam pada itu, wakil-wakil dari Pejabat-pejabat Daerah; Majlis Bandaraya & Daerah (Miri, Marudi, Subis); Jabatan Tanah dan Survei Miri; Jabatan Kerja Raya Miri; Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Miri; Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Bahagian, Miri; Jabatan Pengairan dan Saliran, Miri; Jabatan Kesihatan Bahagian Miri; Pejabat-pejabat Pendidikan Daerah Miri, Subis dan Baram; Ibupejabat Polis Daerah Miri; Ibupejabat Polis Daerah Marudi; Batalion Ke-20, RAMD Kem Sri Miri; Batalion Ke-12, Pasukan Gerakan Am Miri/Bintulu; Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri; Pejabat Pertahanan Awam Bahagian Miri; Hospital Miri; Unit Komunikasi Awam Sarawak; Jabatan Penerangan Daerah Miri dan Lembaga Sungai-sungai Sarawak Miri juga turut hadir.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *