UPMKB Mampu Lahirkan Ramai Graduan Usahawan Tani, Perkembangkan Industri Agromakanan Negara

UKAS  > Edisi-Utama, Edisi-Utara >  UPMKB Mampu Lahirkan Ramai Graduan Usahawan Tani, Perkembangkan Industri Agromakanan Negara
0 Comments

RABU, 2 NOVEMBER 2022

BINTULU: Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) mampu melahirkan ramai graduan usahawan tani bagi memastikan bekalan makanan industri agromakanan stabil di negara.

Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata, sebagai universiti berteraskan pertanian, UPMKB dapat melaksanakan penyelidikan-penyelidikan berimpak tinggi dan menyumbang kepakaran ilmu ke arah kemakmuran wilayah Sarawak.

“Beta yakin dengan kepakaran dan sumber kemudahan yang dimiliki oleh UPMKB sebagai Universiti Penyelidikan utama negara, universiti mampu melahirkan graduan yang memberi impak lebih besar terhadap pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen ke-46 Sidang 1 UPMKB  di Dewan Sri Kenyalang, UPMKB di sini pada Selasa. 

Sehubungan itu, baginda berharap sebagai universiti yang berada di tengah-tengah Borneo akan dapat meluaskan fungsi dan peranannya lebih besar dengan mewujudkan jaringan antara universiti yang berada di kepulauan ini. 

Titah baginda lagi, UPMKB telah banyak melakukan kerjasama strategik untuk penyelidikan yang berimpak tinggi dengan agensi-agensi kerajaan khususnya Kerajaan Sarawak.

Antara pencapaiannya ialah peruntukan RM2.54 juta oleh Kerajaaan Sarawak bagi penubuhan Kursi Tok Nan dalam memacu usaha penyelidikan yang berterusan dan mempertahankan identiti unik serta kekayaan warisan budaya Pribumi Borneo. 

UPMKB juga bersama Jabatan Hutan Sarawak telah mencapai persefahaman dengan mewujudkan Hab Penyelidikan Hutan Sarawak dengan peruntukan dana sebanyak RM10.95 juta dan Projek Pemulihan Hutan di tapak seluas 47.5 hektar di UPMKB. 

Pada Konvokesyen UPM ke-46 Sidang 1 yang julung kali diadakan di UPMKB, Sultan Sharafudin menggesa para graduan untuk menyumbang kepada UPM, sebagai tanda syukur atas pengorbanan yang dicurahkan oleh warga universiti dalam menzahirkan kejayaan graduan pada hari ini. 

Baginda bertitah kepada graduan menterjemahkan slogan “Daripada Alumni kepada UPM” sebagai sumbangan untuk bersama-sama membawa UPM ke mercu kejayaan sebagai Alumni Chapter Borneo. 

Tuanku Canselor UPM turut gembira dengan ranking UPM berada di tangga 123 dalam penarafan QS World University Ranking pada tahun 2023 dan kejayaan ini merupakan lonjakan 20 anak tangga yang signifikan.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn, Menteri Industri Makanan, Komoditi & Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Infratruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Dato Majang Renggi, Residen Bintulu Datu Jack Aman Luat, Timbalan Setiausaha Persekutuan Sarawak Banges Munga, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra, Pengarah UPMKB Prof. Dr. Sharul Razid Sarbini, Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia Dato’ Raihan Sharif, Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Dato’ Dr. Hasan Mad dan Pro-Canselor baharu Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ir. Muhamad Zohadie Bardaie.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *