Datuk Abdullah, Ir Yusuf Turun Padang Dekati Komuniti Cina, Penduduk Rumah Panjang Di Bunut

UKAS  > Edisi-Tengah >  Datuk Abdullah, Ir Yusuf Turun Padang Dekati Komuniti Cina, Penduduk Rumah Panjang Di Bunut
0 Comments

AHAD, 6 NOVEMBER 2022

BINTANGOR: Hujan lebat tidak menjadi penghalang Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan Dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol untuk turun ke kawasan membantu Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Ir Yusuf Abdul Wahab berkempen di Daerah Mengundi Bunut, Bintangor pada Ahad.

Antara kawasan yang dilawati kedua mereka ialah komuniti Cina di Sungai Sian dan rumah-rumah panjang di dalam kawasan Daerah Mengundi Bunut.

Ir Yusuf dalam ucapannya menyeru para pengundi agar terus memberikan sokongan kepada GPS untuk terus membawa pembangunan di seluruh Sarawak.

Selain itu tegasnya, GPS perlu menang besar pada PRU-15 ini supaya suara wakil-wakil rakyat Sarawak lebih banyak dan kuat bersuara menuntut hak-hak Sarawak di peringkat Persekutuan.

Dalam pada itu, Datuk Abdullah berkata, projek jalan dari Bunut ke Jalan Sibu-Tanjung Manis sepanjang 5 kilometer yang telah dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan dahulu akan diutarakan semula sekiranya GPS menang di Parlimen Tanjong Manis.

Katanya, projek jalan ini amat penting bagi membawa kemudahan di kawasan Sungai Sian dan Bunut untuk dapat akses jalan terus ke Sibu dan Tanjung Manis.

“Selain itu wakil rakyat GPS akan terus bersuara berkaitan isu-isu utama khususnya naiktaraf klinik dan sekolah-sekolah daif di Parlimen Tanjong Manis.

“Sehubungan itum saya berharap rakyat akan turun beramai-ramai mengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 19 November nanti,” katanya semasa berucap.

Pada masa yang sama, Datuk Abdullah menyeru kepada pengundi di Daerah Mengundi Bunut yang ada ahli keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan di kawasan Bintangor untuk turut juga menyokong calon GPS bagi Parlimen Sarikei.

“GPS perlu kemenangan besar pada PRU-15 ini untuk mengukuhkan wakil-wakil rakyat Sarawak disamping membantu menstabilkan keadaan politik di peringkat kerajaan pusat,” tambah Datuk Abdullah.

Katanya lagi, rata-rata rakyat dan pengundi di Bunut yakin hanya wakil rakyat dari GPS yang mampu membawa pembangunan di kawasan itu.

Sebelum itu, Datuk Abdullah bersama Ir Yusuf pada tengahari berbincang bersama jentera PBB Meradong untuk mengatur strategi dan aktiviti bagi melancarkan lagi kerja-kerja kempen. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *