GPS Sentiasa Sokong Komuniti Tubuhkan Koperasi, Jana Pendapatan

UKAS  > Edisi-Utara >  GPS Sentiasa Sokong Komuniti Tubuhkan Koperasi, Jana Pendapatan
0 Comments

SELASA, 8 NOVEMBER 2022

BARAM: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa menyokong usaha komuniti setempat yang berhasrat untuk menubuhkan koperasi di kawasan mereka.

Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala berkata, kerajaan menggalakkan penduduk untuk memajukan tanah mereka secara berkumpulan supaya dapat memberikan implikasi yang baik terhadap komuniti.

“Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah memperuntukkan RM80,000 sebagai permulaan untuk menubuhkan Koperasi Pembangunan Lugan Enseluai Berhad Miri tersebut untuk merancakkan lagi aktiviti-aktiviti ekonomi setempat memandangkan kawasan tersebut bergiat dalam aktiviti pertanian,” katanya semasa Majlis Perasmian Dewan Perpaduan Anjan Anak Unggie, Lugan Enseluai Lubok Nibong pada Ahad.

Dalam pada itu, Calon GPS Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau berkata, ia sehaluan dan bertepatan dengan usaha GPS yang ingin memfokuskan pembangunan di kawasan luar bandar dengan menyediakan bantuan baik dari segi dana atau penganjuran kursus.

Tambahnya, penglibatan agensi kerajaan seperti SKM ini amat baik dan berharap supaya ahli-ahli koperasi dapat memanfaatkan peluang itu dengan sebaik nya.

Justeru ujarnya, penting ada kerajaan yang stabil dan kukuh supaya kesinambungan pembangunan yang telah dan akan dirancang dapat menjadi realiti.

Terdahulu, Datuk Gerawat dan Dato Anyi sempat meninjau ke tapak Rumah Panjang Baru William Ndak di Bukit Engkabang dan meninjau perkembangan pembinaan jalan ke Kampung Logan Tasong yang bernilai RM500,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) ADUN Mulu yang kini masih dalam pembinaan.

Pada sebelah petangnya, pihaknya turut berkunjung ke rumah Entawan Padang Kerbau A sebelum mengakhiri kempen di Rumah Andrian Sungai Puyut B. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *