Kuching Bookfair 2022 Ketengah Bakat Penulis Sarawak

UKAS  > Edisi-Selatan >  Kuching Bookfair 2022 Ketengah Bakat Penulis Sarawak
0 Comments

SELASA, 8 NOVEMBER 2022

KUCHING: Buat julung kalinya, Sarawak akan menganjurkan pesta buku Kuching Bookfair 2022 (KBF 2022) bagi mengetengahkan para penulis Sarawak.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn memberitahu ini merupakan kali pertama Sarawak mengadakan pesta buku walaupun populasi rakyat di negeri ini rendah berbanding di negeri lain.

“Walaupun populasi di Sarawak lebih rendah berbanding di negeri lain yang menganjurkan pesta buku, ia masih diadakan untuk mempamerkan penulis Sarawak,” jelasnya dalam sidang media Program KBF 2022 di Bangunan Lembaga Pembangunan Dan Lindungan Tanah (LCDA) di sini pada Selasa.

Beliau juga berharap Sarawak mempunyai penulis baru dan berminat bukan sahaja dalam penulisan buku cerita malah juga dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“KBF 2022 ini diadakan adalah untuk menggalakkan tabiat membaca dalam kalangan masyarakat setempat di samping menyediakan platform untuk berinteraksi antara penerbit dan penulis serta menyokong industri buku khususnya di Sarawak,” ujar Datuk Roland lagi.

KBF 2022 akan berlangsung selama empat hari, bermula dari 24 hingga 27 November di Pustaka Negeri Sarawak dan sebanyak 11 pempamer akan mempamerkan koleksi buku yang boleh dibeli oleh para pengunjung.

Selain itu, banyak aktiviti dan program menarik akan diadakan iaitu Special Needs Open Day, Bacaan Kegemaran Saya Bersama Fir Affandi, Affick Wazai dan Kak Lehot, Kupasan Buku BACA, Secangker Teh Setapak Bandong, Mengapa Membaca, Makersmeet 2022 dan Movie Under The Star: Raya and The Last Dragon.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Japri Bujang Masli. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *