Dana RM200 Juta Diperuntukkan Kepada UNIFOR Tahun 2023: Premier Sarawak

UKAS  > Edisi-Tengah, Edisi-Utama >  Dana RM200 Juta Diperuntukkan Kepada UNIFOR Tahun 2023: Premier Sarawak
0 Comments

ISNIN, 14 NOVEMBER 2022

SIBU: Kerajaan Sarawak akan memperuntukkan dana sebanyak RM200 juta bagi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) pada tahun depan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, dana RM200 juta itu diperuntukkan menerusi permohonan yang diterima daripada UNIFOR.

“UNIFOR minta tambah peruntukan pada 2023, jadi kita bersetuju untuk menambah, saya (kerajaan Sarawak) akan meningkatkan dana kepada RM200 juta tahun depan.

“Selain itu, wakil-wakil rakyat dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga menyumbang melalui peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) dan projek transformasi luar bandar (RTP).

“Mereka ada peruntukan, dan mereka juga membantu institusi keagamaan, maknanya apabila anda melakukan perkara yang baik, Tuhan akan memberi ganjaran kepada kita,” katanya.  

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Apresiasi UNIFOR Bahagian Sibu di sini pada Isnin. 

Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam ucapannya menyatakan sebanyak RM255 juta telah diperuntukkan kepada UNIFOR sejak 2017.

Katanya, bagi Kumpulan Wang Bantuan Pembangunan Khas (SDAF), RM215 juta telah diperuntukkan, dengan RM15 juta diperuntukkan pada 2017, RM20 juta pada 2018, RM30 juta pada 2019, dan RM50 juta setiap satu pada 2020, 2021, dan 2022.

“Bagi sekolah mubaligh, RM30 juta telah diperuntukkan, dengan RM15 juta setiap satu diperuntukkan pada 2021 dan 2022.

“Tambahan pula, untuk bantuan operasi COVID-19, RM10 juta telah diperuntukkan, dengan RM5 juta diperuntukkan setiap satu pada 2021 dan 2022,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengarah UNIFOR Richard Lon dan Residen Bahagian Sibu Wong Hee Sieng. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *