Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu Percepatkan Proses Penyukatan Tanah NCR

UKAS  > Edisi-Utama, Edisi-Utara >  Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu Percepatkan Proses Penyukatan Tanah NCR
0 Comments

ISNIN, 14 NOVEMBER 2022

BEKENU: Kerajaan Sarawak telah memperkenalkan Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu pada tahun 2010 yang bertujuan mempercepatkan proses penyukatan pengukuran tanah NCR.

Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, program ini dilaksanakan secara dua peringkat iaitu melalui pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian). 

Manakala, pada peringkat kedua pula, pengukuran secara lot individu dan pengeluaran surat hakmilik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri akan dilaksanakan. 

“Buktinya dari tahun 2010 hingga 31 Oktober 2022, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak telah pun berjaya menyukat secara perimeter seluas lebih kurang 1,060,811 hektar (2.6 juta ekar) seluruh bahagian negeri Sarawak. 

“Daripada jumlah tersebut seluas 813,567 hektar atau 2.01 juta ekar telah pun diwartakan,” katanya. 

Beliau berucap di Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah di Bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Bagi Kawasan Penyelesaian Beraya dan Inisiatif Baru Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Kampung Sebalik Tiris di Dewan Masyarakat Bekenu pada Sabtu. 

Ujar Datuk Amar Awang Tengah lagi, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM40 juta bagi tujuan Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu ini dan meluluskan pengambilan 467 pegawai pelbagai kategori bagi menambah kapasiti sedia ada di Jabatan Tanah dan Survei melibatkan tambahan perbelanjaan kepada Kerajaan Sarawak sebanyak RM30 juta setahun. 

Setakat 31 Oktober 2022, sebanyak 58,606 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 74,181 hektar (183,305 ekar). 

Juga, sebanyak 24,405 lot telah dikeluarkan surat hakmilik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri yang berkeluasan 36,618 hektar (90,485 ekar).

Pada majlis itu beliau telah menyerahkan 51 surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 KTN bagi Kampung Sebalik Tiris, Sibuti kepada 51 penerima dan menyerahkan 47 surat hakmilik tanah bagi Kawasan Penyelesaian Beraya di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri kepada 42 orang. 

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak merangkap Ahli Dewan Undnagan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Yusuf, Setiausaha Tetap, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Usahawan Sarawak Dzulkornain Masron, Ketua Bahagian Pembangunan Usahawan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Usahawan Sarawak Sayed Ismail Nasiruddin Dato’ Wan Hashim dan Timbalan Pengarah (pengurusan) Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *