Kesejahteraan Komuniti Agenda Capai Inklusiviti Sosial Di Sarawak

UKAS  > Edisi-Tengah >  Kesejahteraan Komuniti Agenda Capai Inklusiviti Sosial Di Sarawak
0 Comments

RABU, 16 NOVEMBER 2022

SPAOH: Kesejahteraan komuniti adalah satu agenda kerajaan negeri bagi mencapai inklusiviti sosial di Sarawak sejajar dengan dasar tiada yang dipinggirkan atau ‘no one is left behind’.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Mohammad Razi Sitam berkata setiap rakyat Sarawak mesti dibantu supaya dapat menjalankan fungsi sosialnya dalam komuniti.

Ujarnya, ini sangat penting kerana jika setiap rakyat sihat dan sejahtera, mereka akan mampu menyumbang kepada keluarga dan pembangunan ekonomi Sarawak.

“Hasil input komuniti melalui RKK ini, Majlis Pembangunan Sosial Sarawak akan dapat berkongsi maklumbalas dan keperluan komuniti dengan agensi-agensi berkaitan dan pemegang taruh bagi penggubalan dasar, membangun dan melaksana program dan intervensi sosial yang bersasar demi pembangunan seimbang di Sarawak.”

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Randau Kesejahteraan Komuniti (RKK) Daerah Kecil Spaoh Tahun 2022 untuk komuniti kawasan Bungin di Dewan Pahlawan 7, Kampung Bungin, Spaoh pada Rabu.

Katanya, program RKK ini bertujuan untuk memberi peluang kepada komuniti berkongsi input terhadap isu-isu pembangunan dan sosial setempat selain mendapat maklumat terkini tentang bantuan dan perkhidmatan kerajaan.

Pada masa sama, penganjuran program itu juga bertujuan mendapat khidmat nasihat atau rujukan intervensi berkaitan isu-isu yang dihadapi seperti kebajikan, jenayah, hartanah, penagihan, kesihatan fizikal dan mental, perkahwinan dan perceraian, kewarganegaraan, latihan kemahiran, pendidikan dan sebagainya.

Program itu dijayakan menerusi 10 rakan strategik iaitu IPD PDRM Betong, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Betong, Majlis Daerah Betong, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sarawak, Sarawak Energy Berhad (SEB)/SESCO dan. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sarawak. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *