Sokongan Masyarakat Marudi & Baram Kepada GPS Diperlukan Untuk Bawa Pembangunan Berterusan

UKAS  > Edisi-Utara >  Sokongan Masyarakat Marudi & Baram Kepada GPS Diperlukan Untuk Bawa Pembangunan Berterusan
0 Comments

KHAMIS, 17 NOVEMBER 2022

BARAM: Sokongan masyarakat Marudi dan Baram kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini adalah sangat diperlukan.

Calon GPS Parlimen Bintulu yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Sarawak Dato Sri Tiong King Sing berkata, ini adalah memastikan pembangunan Marudi dan Baram dapat diteruskan.

“Bandar Marudi telah menerima banyak perubahan semenjak GPS memimpin negeri ini. Tanpa sokongan penuh dari masyarakat Baram dan Marudi semua ini tidak akan dicapai.

“Saya mahu masyarakat Cina di Marudi ini terus berikan sokongan kepada GPS demi memastikan pembangunan Marudi dan Baram dapat berterusan,” katanya dalam Majlis Pemimpin Bersama Komuniti di Chan Restaurant Kampung Cina di sini pada Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu juga menegaskan, parti PDP perlu berkerja keras membantu calon GPS bersama-sama dengan komponen parti lain pada PRU kali ini.

“Semua ADUN juga hendaklah bekerja keras bagi membantu calon GPS ini supaya Parlimen Baram memperoleh majoriti besar dan membawa suara penduduk dari Baram,” ujar beliau.

Berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Komuniti yang diadakan di Dewan Kampung Narum pula, Dato Sri Tiong berkata, Sarawak kini telah bertambah maju setelah hasil-hasil bumi telah mula kembali secara berperingkat melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Telah terbukti apabila banyak pembangunan dan kemajuan yang telah dibuat sesuai slogan Sarawak First. “Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg melalui kerajaan telah banyak membantu golongan masyarakat terutamanya golongan B40,” katanya lagi.

Sementara itu, calon GPS Parlimen Baram Dato Anyi Ngau yang berucap juga menyeru sokongan daripada rakyat untuk GPS.

“Sokongan dari masyarakat Marudi akan memberi impak yang baik kepada kesinambungan pembangunan di Marudi dan Baram,” kata Dato Anyi.

Manakala, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap ADUN Marudi Datuk Dr Penguang Manggil yang juga berucap menekankan mengenai, kepentingan kemenangan GPS dalam PRU ini.

Ujarnya, GPS adalah suara parti yang lantang bersuara mempertahankan dan menuntut hak Sarawak yang telah hilang.

“GPS perlu disokong di Baram kerana kita sudah melihat pembangunan-pembangunan yang telah dibawa ke Marudi.

“Dato Anyi Ngau bukan asing dan kali ketiga bertanding di Parlimen Baram.

“Berikan sokongan kepada Calon GPS Dato Anyi Ngau pada 19 November ini,”katanya.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *