Pilih Calon Yang Diyakini Dapat Bantu Rakyat & Beri Perkhidmatan Cemerlang

UKAS  > Edisi-Utara >  Pilih Calon Yang Diyakini Dapat Bantu Rakyat & Beri Perkhidmatan Cemerlang
0 Comments

KHAMIS, 17 NOVEMBER 2022

BINTULU: Pengundi di kawasan Parlimen Bintulu harus bijak memilih calon yang diyakini dapat membantu serta memberikan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat pada hari pengundian Sabtu ini.

Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Kemena, Jenny Bangga berkata, pemilihan calon yang diundi para pengundi itu nanti akan membantu dalam menyuarakan kehendak serta aspirasi penduduk di Bintulu sebagaimana penyandang sebelum ini iaitu Datuk Seri Tiong King Sing.

“Kita semua lihat bahawa beliau sememangnya wakil rakyat yang bekerja keras bagi membangunkan Bintulu sejak 20 tahun lepas yang mana rakyat di sini sememangnya mengetahui beliau adalah wakil rakyat yang benar-benar dapat membela nasib rakyat di sini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Makan Malam Bersama Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Hotel Li Hua di sini pada Selasa.

Jenny menambah, rakyat di bahagian ini khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman dapat menilai sendiri wakil rakyat yang kerap membantu mereka sama ada di waktu senang dan sukar selama ini.

“Justeru itu, manfaatkan cuti pada Sabtu ini nanti bagi anda semua (wanita) bersama ahli keluarga lain yang layak mengundi untuk turun ke pusat pengundian mengikut tempat anda mendaftar bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

“Jangan mengabaikan tanggungjawab dengan tidak mengundi kerana satu undi bermakna besar dalam undian kerana setiap undi akan dikira,” jelasnya.

Terdahulu, wakil Datuk Seri Tiong, Peter Soo berkata sokongan yang tidak berbelah-bahagi terhadap GPS akan memastikan kemenangan besar komponen parti GPD di Sarawak.

“Harus rakyat ingat bahawa kemenangan GPS di Sarawak akan memastikan nasib rakyat lebih terbela di masa hadapan terutama tuntutan terhadap hak-hak yang telah lama terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Hadir sama ialah Pengerusi Persatuan Wanita Cina Bintulu merangkap Pengerusi Pengelola Majlis Makan Malam Bersama Wanita GPS Christina Tan Ah Lan, dan Ketua Wanita PBB Samalaju Dora Abdul Rahman.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *